MALAYSIA
Gencatan senjata: Panglima ATM ketuai delegasi khas ke Thailand dan Kemboja

Delegasi diplomatik ini bertujuan memastikan semua pihak terlibat mematuhi perjanjian yang berkuat kuasa jam 12 tengah malam tadi (28 Julai), sekali gus meredakan ketegangan di kawasan sempadan. - Foto FB JHEV ATM
KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Haji Jaffar, akan mengetuai delegasi khas ke Thailand dan Kemboja dalam usaha mengukuhkan komitmen terhadap gencatan senjata serta-merta yang diumumkan susulan Mesyuarat Khas tiga negara, semalam.
Ringkasan AI
- Malaysia perkukuh gencatan senjata Thailand-Kemboja: Panglima ATM mengetuai delegasi khas ke kedua-dua negara bagi memastikan pematuhan terhadap perjanjian damai yang diumumkan pada 28 Julai.
- Langkah susulan untuk jamin keamanan sempadan: Persetujuan dicapai untuk larangan serangan terhadap orang awam, pembekuan pergerakan tentera, penubuhan pasukan penyelaras bersama, dan persediaan menjelang Mesyuarat GBC pada 4 Ogos.
- Pendekatan diplomatik Malaysia dipuji: Tindakan segera ini mencerminkan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menjamin kestabilan serantau melalui rundingan dan kerjasama konstruktif.
"Antara perkara yang mendapat persetujuan semula adalah menegakkan perjanjian gencatan senjata, melarang sebarang serangan terhadap orang awam, penghentian segera pengukuhan ketenteraan, melarang pergerakan pasukan tentera, pemulangan mangsa yang cedera dan terkorban, penubuhan pasukan penyelaras seramai empat wakil dari setiap pihak serta penantian keputusan dan hala tuju baharu menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang akan berlangsung 4 Ogos ini," katanya.
Dalam pada itu, delegasi Malaysia dijadualkan berangkat ke Phnom Penh bagi meneruskan rundingan dan memperkukuh kerjasama dua hala bersama Kemboja.
Langkah pantas dan pendekatan diplomatik yang diketuai oleh Panglima ATM mencerminkan komitmen tinggi Malaysia terhadap kestabilan serantau serta keutamaan terhadap penyelesaian damai.
Pada 28 Julai, Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat mulai tengah malam tadi bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Kejayaan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi bagi Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana.
Mesyuarat khas tersebut dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami