Generasi muda disaran bantu ibu bapa isi maklumat banci secara e-Census

Generasi muda disaran membantu ibu bapa atau anggota keluarga masing-masing yang tidak berkemahiran mengakses Internet mengisi maklumat Banci 2020 secara dalam talian atau e-Census.

Fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 Sept dilakukan melalui e-Census, manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Okt menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka. - Gambar fail | Astro Awani
Generasi muda disaran membantu ibu bapa atau anggota keluarga masing-masing yang tidak berkemahiran mengakses Internet mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau e-Census.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengisian maklumat banci secara dalam talian boleh membantu mengekang penularan pandemik COVID-19 terutama dalam kalangan warga emas berbanding secara bersemuka.

Fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 Sept dilakukan melalui e-Census, manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Okt menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

Mohd Uzir berkata anak-anak yang cekap dalam penggunaan teknologi perlu membantu ibu bapa yang tidak berkemahiran serta tidak boleh bertahan lama di hadapan komputer atau gajet untuk menjawab soalan diberikan.

Jelasnya, masyarakat perlu mempunyai kesedaran tinggi bahawa dapatan data bancian itu akan mencorakkan struktur demografi, sosial dan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun akan datang sekali gus mampu menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menasihatkan orang ramai agar tidak menunggu sehingga saat-saat akhir untuk mengisi maklumat e-Census.

Setakat ini hampir 500,000 penduduk telah menjalankan tanggungjawab mengisi secara e-Census dan sasarannya adalah mencapai minimum satu juta penduduk berbuat demikian pada bulan ini.

"Saya berpendapat perkara yang menyebabkan pengisian e-Census itu rendah kerana ramai berpandangan tarikh banci kita lama lagi dan masih ada masa," katanya.

Mohd Uzir berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang memberi fokus untuk menggalakkan mereka di peringkat kementerian, agensi serta premis perniagaan untuk mengisi e-Census dengan membuka kios di beberapa tempat.

Anggota yang ditempatkan di kios e-Census akan membantu pengguna mendaftarkan 'pra e-Census' ke dalam sistem untuk mendapatkan kata laluan bagi melakukan pengisian banci itu dan orang ramai boleh mengakses www.mycensus.gov.my bagi mengisi maklumat banci.

-- BERNAMA