AMPANG JAYA: Melakukan samun bersenjatakan parang dengan mensasarkan mangsa yang berjalan berseorangan di kawasan sunyi dan tiada ramai orang.

Itu modus operandi yang digunakan Geng Acoi yang dianggotai lapan individu termasuk seorang wanita bagi melakukan samun di sekitar Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata, berdasarkan laporan, pihaknya melakukan beberapa siri serbuan di lima lokasi berasingan di Selayang dan Gombak antara 3 dan 6 Ogos lalu.









Dalam serbuan itu katanya, polis memberkas lapan suspek berusia 21 hingga 35 tahun dan salah seorang daripada mereka bekerja membaiki pendawaian sementara tujuh lagi penganggur. 

Menurutnya, suspek menggunakan pisau atau parang untuk mendatangkan ketakutan sebelum mengambil barang kepunyaan mangsa seperti dompet duit, bag galas, wang tunai, telefon bimbit dan barang berharga yang lain.

"Bagi mengaburi pihak polis, kumpulan ini juga menggunakan dua buah motosikal curi secara bergilir dalam setiap kes samun yang dilakukan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Hasil semakan, Mohamad Farouk memberitahu, tujuh daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah dan narkotik dengan salah seorang daripada mereka dalam senarai dikehendaki polis bagi kes bersabit narkotik dan komersial.

Beliau memberitahu, dalam tangkapan itu, polis turut merampas 74 telefon bimbit, tiga buah komputer riba dipercayai hasil samun, parang (tiga), pedang (empat), pisau lipat (tiga), pisau (tiga) dan satu bilah kapak.

"Kita juga merampas enam buah motosikal yang dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti samun," ujarnya lagi.

Ujian air kencing yang dijalankan pula, katanya, mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau yakin dengan penahanan Geng Acoi polis berjaya menyelesaikan enam kes samun berkumpulan bersenjatakan senjata di sekitar Ampang Jaya dan satu kes di daerah Gombak.

Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun keseksaan kerana melakukan samun berkawan bersenjata dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.