KEPALA BATAS: Geng Mawar yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sekitar Seberang Perai Utara (SPU) tumpas selepas empat anggotanya termasuk remaja berusia 16 tahun diberkas polis.

Tiga suspek lelaki ditahan dalam Op Pintu oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah SPU (IPDSPU) dengan bantuan Cawangan Siasatan Jenayah Balai Polis Kepala Batas ketika membuat rondaan sekitar SPU pada pukul 3.40 pagi, 28 September lalu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad dalam sidang media di IPDSPU, di sini, berkata, hasil soal siasat ke atas tiga suspek pertama membawa kepada penangkapan seorang suspek wanita pukul 3.30 petang di Sungai Petani, Kedah, pada 30 September lalu.

Kesemua suspek yang berusia antara 16 hingga 37 tahun aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sekitar Bandar Bertam Perdana, Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

“Dengan tertangkapnya kumpulan ini yang kita namakan Geng Mawar kita berjaya telah menyelesaikan sebanyak 16 kes pecah rumah dan curi di kawasan Seberang Perai Utara.

“Kita telah menjalankan soal siasat ke atas semua tangkapan ini (iaitu) tiga lelaki dan seorang perempuan dan hasil soal siasat yang kita buat, kita telah berjaya menemui barang-barang yang dicuri iaitu beg berjenama, kasut berjenama, telefon bimbit, komputer riba pelbagai jenama, mata wang asing, barangan emas, peralatan pertukangan, peralatan pecah rumah dan (sejumlah) wang tunai,” katanya.

Menurut Mohd Radzi, suspek wanita yang ditahan di Sungai Petani merupakan kekasih kepada suspek lelaki yang ditahan dalam Op Pintu dan dia bertanggungjawab melupuskan barangan kemas yang dicuri.

Kata beliau lagu, kesemua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah serta direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

“Semakan rekod lampau mendapati keempat-empat tangkapan ini mempunyai rekod lampau iaitu tangkapan pertama dengan dua rekod jenayah dan dua rekod dadah, tangkapan kedua ada  tiga rekod jenayah satu rekod dadah.

“Tangkapan ketiga kita dapati ada 13 rekod jenayah dan enam rekod dadah dan tangkapan terakhir yang perempuan ini kita dapati dia ada satu rekod jenayah dan tiga rekod dadah,” jelas Mohd Radzi lagi.

Polis juga, ujar Mohd Radzi menyita sebuah kereta Proton Wira yang digunakan dalam kegiatan pecah rumah manakala semua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM250,000.

Kes tersebut, kata beliau, disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek berdepan hukuman lima tahun penjara atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.