MELAKA: Taktik sekumpulan empat lelaki warga Indonesia yang dikenali ‘Geng Batam’ menyewa kereta bagi melakukan kegiatan pecah kenderaan di sekitar Melaka berjaya ditumpaskan pasukan polis.

Bukan sahaja itu, malahan kumpulan berkenaan turut dikesan menggunakan ayat serta kalimah jampi serapah sebagai ‘tangkal’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelak daripada dicekup.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua mangsa yang berusia antara 22 hingga 41 tahun itu dicekup secara berasingan di sekitar Senai, Johor pada, 14 September lalu.

“Mereka menyasarkan kenderaan yang mempunyai barang berharga yang ditinggalkan, lalu menggunakan serpihan seramik daripada palam pencucuh untuk memecahkan cermin kenderaan.

“Pihak polis turut menjumpai barang-barang berserta ayat jampi serapah yang dipercayai digunakan oleh setiap suspek sebagai pendinding bagi mengaburi perbuatan jenayah mereka dikesan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, dengan tangkapan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan kira-kira lapan kes jenayah pecah cermin kereta di dalam daerah Melaka Tengah.

Ujarnya, kumpulan itu didapati bergerak menggunakan kenderaan yang disewa dari Johor dan menuju ke Melaka untuk tujuan jenayah pecah kereta.

“Turut dirampas adalah pakaian yang diguna pakai semasa kejadian, beberapa unit telefon bimbit, lampu suluh dan kenderaan selain kesemua tangkapan berada dalam tahanan reman dan akan dituduh di mahkamah selepas selesai siasatan.

“Pihak polis ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak meninggalkan barang berharga di dalam kenderaan sewaktu tidak digunakan,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.