KEPALA BATAS: Sekumpulan lelaki menggunakan kaedah  'sistem barter ' iaitu menukar barang hasil curi bagi mendapatkan bekalan dadah.

Bagaimanapun, aktiviti tersebut tumpas selepas Polis Pulau Pinang berjaya menahan tujuh lelaki dalam dua serbuan di Kampung Perlis dan Kampung Baru Mak Mandin semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, geng penyamun itu terdiri daripada tujuh lelaki berusia 21 hingga 49 tahun.

Geng berkenaan, katanya, giat melakukan kegiatan pecah rumah dan pejabat di sekitar kawasan SPU sejak dua bulan lepas.

Beliau berkata, siasatan mendapati, enam suspek melakukan aktiviti mencuri sebelum menjual barang yang dicuri kepada suspek utama yang berusia 37 tahun.

“Hasil siasatan, kita dapati mereka mencuri alatan seperti pemotong rumput, mereka juga telah mengambil burung yang bernilai… kumpulan ini akan jual barang-barang curi  kepada B1 di mana B1 akan beli untuk ditukar dengan dadah bukannya dengan cash (tunai),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, di sini pada Isnin.



Menurut beliau, dalam serbuan yang diadakan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan pertukangan seperti mesin penebuk, gergaji elektrik, mesin penyembur air, mesin pemotong rumput serta beberapa lagi peralatan lain yang dicuri.

Selain itu, tujuh ekor burung bernilai antara RM1,000 hingga RM2,000 yang dicuri turut dirampas polis.

Tidak ketinggalan polis turut merampas sejumlah dadah jenis heroin dan syabu bagi siasatan selanjutnya.

Beliau berkata, ketujuh-tujuh suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.