Kegiatan tiga lelaki yang memproses dan menjual air ketum di dua buah rumah di Permatang Damar Laut, di sini terbongkar selepas diserbu polis Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan A.A Anabalagan berkata, serbuan dibuat hasil risikan dan maklumat terdapat kegiatan memproses dan menjual air ketum di rumah itu sejak tiga bulan lepas.

Dalam serbuan pukul 1.50 pagi itu, tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun dan seorang lelaki warga Nepal berumur 28 tahun ditahan manakala 1,000 bungkus air ketum yang sudah siap di proses dirampas.

Anbalagan berkata, bungkusan air ketum itu disimpan di dalam 12 buah tong ais besar di percayai untuk dihantar kepada pelanggan.

Katanya, polis turut merampas 16 bungkusan plastik hitam mengandungi 80 kilogram daun ketum yang belum diproses di percayai di beli daripada pembekal di Kedah.

Selain itu, pelbagai peralatan memproses air ketum antaranya lima buah periuk besar, dapur gas, tong gas, alat penimbang serta kayu pengacau turut dirampas.

Anbagalan berkata, mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu menyewa di rumah tersebut dan mengajikan seorang lelaki Nepal yang tiada pengenalan diri untuk menjaga dua buah rumah berkenaan dan membantu proses memasak air ketum dengan bayaran RM50 sehari.

"Siasatan mendapati tiga lelaki itu menjual air ketum yang telah siap diproses itu di sekitar Batu Maung dan Bayan Lepas dengan harga RM5 hingga RM10, dipercayai mampu menjual sehingga 1,000 bungkusan setiap hari kerana mendapat permintaan yang tinggi sebab itu mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit,"katanya.

Katanya, lelaki berusia 24 tahun yang juga ketua geng itu sebelum ini pernah ditahan kerana kesalahan yang sama iaitu memproses serta menjual air ketum selain mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Beliau berkata, semua daun ketum dan air ketum yang dirampas dalam serbuan tersebut bernilai RM7,000 dan empat lelaki itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 30(5) Akta Racun 1952.