GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang menumpaskan geng  samun bersenjata api membabitkan kedai serbaneka di negeri itu selepas menahan dua suspek di Bukit Mertajam tengah malam Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua lelaki warga tempatan berusia 26 dan 30 tahun ditahan secara berasingan di tepi jalan di Jalan Berjaya dan Taman Desa Damai kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketika ditahan, polis menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38 bersama dua kelongsong dengan tiga butir peluru .

"Ketika pemeriksaan anggota kita menemui senjata bersama salah seorang suspek, tapi kita tidak dapat pastikan, tujuan mereka sama ada mahu melakukan jenayah atau sebaliknya, tetapi ada juga kemungkinan mereka melakukan samun, kita akan siasat," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, penahanan suspek dibuat sepasukan siasatan khas yang ditubuhkan selepas polis menerima laporan kes samun membabitkan senjata api di sebuah kedai serbaneka di Jalan Betik, Bukit Mertajam pada 9 Disember lalu.

"Suspek disyaki menyasarkan kedai-kedai serbaneka yang beroperasi hingga lewat malam dengan melarikan hasil jualan dan telefon bimbit.

“Dengan penahanan mereka, kita percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes samun bersenjata api dalam tempoh sebulan sepanjang Disember lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa.

Mohd Shuhaily berkata, selain pistol dan peluru, pihaknya turut merampas dua buah motosikal iaitu jenis Yamaha 125Z dan SYM, kereta jenis Proton Iswara, topi keledar dan beberapa barangan lain.

Kedua-dua suspek yang memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu direman selama enam hari sehingga Jumaat depan bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.