NATIONAL
Gentari fokus dekarbonisasi, perluas kerjasama industri tenaga bersih

Sebagai cabang tenaga bersih PETRONAS, Gentari berada di barisan hadapan dalam usaha menyahkarbon operasi dan aset syarikat antaranya melalui projek solarisasi pada lebih 180 stesen PETRONAS seluruh negara. - Gambar Gentari
KUALA LUMPUR: Dipacu oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia terus melangkah ke arah membina ekonomi rendah karbon.
Gentari, anak syarikat milik penuh PETRONAS, muncul sebagai antara peneraju dalam membangunkan ekosistem tenaga bersih negara menerusi tiga teras utama iaitu tenaga boleh baharu, hidrogen dan mobiliti hijau.
Ditubuhkan bagi menawarkan penyelesaian tenaga lestari merentasi rantaian nilai, Gentari menekankan usaha pengurangan pelepasan karbon secara menyeluruh.
Ketua Tenaga Boleh Baharu Malaysia Gentari, Syed Malek Faisal Syed Mohamad berkata antara pendekatan utama syarikat itu adalah membantu mengurangkan jejak karbon aset PETRONAS.“Salah satu pendekatan utama Gentari adalah membantu menurunkan jejak karbon aset PETRONAS. Antaranya ialah projek solarisasi di lebih 180 stesen PETRONAS setakat ini dan ia menjadi penyumbang kepada sasaran sifar bersih negara,” katanya.
Beliau berkata inisiatif tersebut bukan sekadar menjadikan operasi lebih mampan, malah turut menjimatkan kos dan meningkatkan kecekapan tenaga.

Ketua Tenaga Boleh Baharu Malaysia Gentari, Syed Malek Faisal Syed Mohamad komited dalam membantu menurunkan jejak karbon aset PETRONAS.
Usaha penyahkarbonan Gentari turut diperluaskan ke fasiliti lain seperti Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Kompleks Bersepadu PETRONAS Pengerang (PIC) dan Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), selaras dengan fokus jangka panjang syarikat induknya.
Dalam sektor mobiliti hijau, Gentari kini mempunyai rangkaian pengecas kenderaan elektrik di 46 lokasi termasuk stesen PETRONAS, PIC di Johor, Malaysia LNG (MLNG) di Bintulu, Sarawak serta aset PETRONAS lain di Kerteh, Terengganu.
Selain itu, Gentari turut memperluaskan kerjasama strategik bersama rakan industri tempatan seperti Uzma Berhad dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dalam memperkasa penyertaan industri tempatan dalam ekosistem tenaga bersih.
Ketua Pegawai Perniagaan Tenaga Baharu Uzma, Datuk Sayed Alfeizal Sayed Ahmad berkata syarikat itu amat berbangga dapat bekerjasama dengan Gentari dalam merealisasikan aspirasi tenaga bersih negara.
“Kami amat berbesar hati mengetuai konsortium syarikat Bumiputera di bawah DPMM. Ketika ini, kami mempunyai 20 syarikat yang telah berdaftar dalam sistem vendor Bumiputera kami dan kami komited meningkatkan keupayaan mereka menerusi program ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon pula berkata pihaknya berterima kasih kepada Gentari dan PETRONAS atas peluang yang diberikan kepada ahli industri Bumiputera dalam sektor tenaga boleh baharu.
“Alhamdulillah, hasil beberapa pertemuan dengan pihak PETRONAS sebelum ini, kita berjaya membuka ruang kepada ahli dewan yang terlibat dalam industri solar untuk turut serta dalam projek mega dan teknologi tenaga bersih,” katanya.
Sebagai salah satu pemacu utama transisi tenaga negara, Gentari komited menawarkan penyelesaian lestari yang dipacu inovasi, membentuk jalan ke arah masa depan yang lebih bersih, cerdas dan inklusif.

(Dari kiri) Datuk Sayed Alfeizal Datuk Sayed Ahmad, Syed Malek Faisal Syed Mohamad, dan Norsyahrin Hamidon. - Gambar Gentari
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami