KUALA LUMPUR: Institusi wakaf dan gerakan dakwah di negara ini perlu menguasai teknologi moden termasuk pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan peranannya kekal relevan dan dalam arus pemodenan global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penguasaan teknologi itu, bagaimanapun mesti diseimbangkan dengan pengukuhan akidah, akhlak dan nilai kemanusiaan supaya kemajuan yang dicapai tidak menghakis jati diri serta prinsip moral masyarakat.
Beliau berkata dalam mengejar kemajuan teknologi masa depan, institusi agama dan umat Islam tidak boleh mengabaikan asas nilai moral dan etika.
“Menggapai di langit itu ada bahayanya, kerana AI, teknologi baharu, teknologi maklumat dan quantum computing, tanpa nilai dan akhlak akan menghakis kemanusiaan, maruah dan etika. Inilah cabaran yang harus dijawab.
“Sebab itu saya kata sementara kita menggapai di langit, kita wajib mengakar ke bumi. Mengakar ke bumi itu dengan iman dan akidah, akhlak dan sahsiah, budaya, penguasaan bahasa, jati diri serta sejarah negeri dan tempatan,” kata beliau ketika merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Anwar turut memuji usaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Majlis Dakwah Islamiah Serantau bagi Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) yang diterajui Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang membawa pendekatan dakwah lebih progresif dan berhikmah bagi memperkukuh perpaduan ummah serta menangani isu Islamofobia.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha memodenkan ekosistem wakaf dan menyifatkan resolusi yang dikemukakan menerusi konvensyen itu akan diperhalus oleh kerajaan sebelum dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri dan Majlis Raja-Raja Melayu.
Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 hari ini mengemukakan tiga resolusi utama, iaitu penubuhan working consortium bagi memperkukuh institusi wakaf, pemanfaatan teknologi dan pendigitalan dalam pengurusan wakaf serta pengukuhan ekosistem wakaf menerusi tadbir urus yang lebih berkesan dan kerjasama strategik pelbagai pihak.
-- BERNAMA