Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia dan AirAsia X meneruskan program kesedaran menerusi gerakan #GREEN24.

Sebuah acara komuniti berlangsung di APW Bangsar melibatkan aktiviti seperti pengumpulan barang kitar semula, pameran oleh pertubuhan-pertubuhan alam sekitar untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kesan perubahan iklim.

Barangan kitar semula yang dikumpul termasuk kertas, plastik, aluminium dan pakaian terpakai. Barang-barang ini kemudiannya diasingkan dan dihantar ke pusat kitar semula Tzu Chi Foundation.

AirAsia

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar berkata gerakan #GREEN24 dilancarkan sebagai inisiatif serantau di seluruh ASEAN untuk meningatkan profil kesan perubahan iklim dunia di bahagian ini.

“Kita boleh mengubah isu perubahan iklim ini dan kami benar-benar percaya bahawa perubahan gaya hidup harus bermula dari diri kita sendiri dan kita perlu memastikan orang di sekeliling kita menitikberatkan penjagaan alam sekitar, mengurangkan pembaziran dan mengambil langkah-langkah aktif dalam pemuliharaan alam sekitar,” kata Aireen di acara komuniti tersebut pada Sabtu.

Beliau menambah semua pejabat AirAsia di rantau ini menjalankan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran untuk memerangi perubahan iklim.

AirAsia

“Di Kuala Lumpur, kami mahu acara ini menjadi platform di mana orang ramai boleh berkumpul bersama-sama, mengambil langkah-langkah aktif seperti menghantar barangan kitar semula kepada kami, dan mempelajari cara-cara yang berkesan untuk memulihara alam sekitar.

“Komitmen kami terhadap tindakan iklim bukan saja melalui acara komuniti ini. Kami juga telah mengambil langkah proaktif dalam operasi kami untuk memastikan kami mengurangkan jejak karbon (carbon footprints) kami,” tambah Aireen.

Kempen #GREEN24 AirAsia dilancarkan November lepas sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat penerbangan ini di seluruh rantau ASEAN.

Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang tahun ini sebagai sebahagian daripada kempen ini, termasuk sebuah gerakan kesedaran di seluruh Kumpulan AirAsia termasuk di semua pejabat globalnya untuk menjimatkan tenaga, meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim dan berusaha ke arah mewujudkan budaya kelestarian alam sekitar dalam industri penerbangan.

AirAsia

Turut hadir di acara komuniti tersebut adalah personaliti popular YouTube Jinnyboy dan Reuben dari JinnyBoy TV, Joe Flizzow, SonaOne dan Noh Salleh. Pelakon dan pengaran Neelofa turut membuat penampilan istimewa sebagai memberi sokongan kepada kempen gerakan #GREEN24 ini.