JOHOR BAHRU:Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan geran sejumlah RM30 juta bagi meringankan beban dan membantu golongan rentan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di negeri Johor.

Perkara itu disampaikan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad semasa ucapan penggulungan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor ke-14, di Iskandar Puteri.

Hasni berkata 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor juga akan mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM50,000  secara 'one off'.

Ia bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing menerima kesan dari pandemik itu.

“Kerajaan Negeri menyedari bahawa isu berkaitan dengan COVID-19 semakin serius. Sehubungan itu peruntukan sebanyak RM50,000 diberi  secara ‘one off’ kepada semua ADUN negeri Johor,” katanya ketika berucap.

Sementara itu, Hasni terbuka menerima mana-mana sumbangan  ADUN, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun syarikat swasta serta individu persendirian untuk terus menyumbang ke dalam Tabung Bencana negeri.

Beliau memberikan reaksi kepada saranan  beberapa ADUN negeri itu yang berpandangan pemotongan gaji dan elaun ADUN perlu dilakukan ekoran penularan COVID-19 yang melanda kini.

Jelas Hasni, pihaknya menghargai cadangan itu namun sumbangan hendaklah tidak bermotifkan menarik perhatian rakyat atau retorik semata-mata.

Sehingga kini jumlah kutipan Tabung Bencana Negeri Johor adalah sebanyak RM32.3 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM28.8 juta telah dibelanjakan untuk pembelian peralatan bagi pasukan barisan hadapan, bantuan makanan asas kepada mangsa COVID-19 selain peralatan di pusat kuarantin.