GFT perkukuh peranan wanita dalam ekonomi - Penganalisis

Umar Sadique
Julai 29, 2022 12:13 MYT
Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) pada Khamis bersetuju mewujudkan Gender Focal Team (GFT) di setiap kementerian dan agensi. - Gambar fail/PMO
KUALA LUMPUR: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mewujudkan Gender Focal Team (GFT) di setiap kementerian dan agensi pada Khamis dilihat mempu memperkukuh potensi golongan wanita dalam ekonomi negara.
Pensyarah Kanan Rancangan Pengajian Gender Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr Lai Suat Yan berkata, peranan GFT ini adalah amat penting dan ia akan bertindak sebagai pemangkin bagi mencapai kesaksamaan gender.
“Ianya (GFT) penting untuk mengidentifikasi strategi dan membantu menggubal polisi yang boleh menyerlahkan lagi pencapaian wanita dalam bidang ekonomi,” jelasnya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Gender Focal Team diwujudkan di setiap kementerian, agensi - Ismail Sabri
Sewaktu mengumumkan penubuhan GFT, perdana menteri berkata ia akan dianggotai seramai tujuh ahli dengan tujuan mengkoordinasi usaha dan langkah memperkasakan wanita di Malaysia.
Sementara itu Lai berkata, GFT akan memberikan impak yang besar kepada penglibatan wanita berkerjaya lebih-lebih lagi berkaitan isu tanggungjawab tidak berbayar seperti penjagaan rumah dan anak-anak.
Selain itu, ia juga akan membuka ruang kepada wanita untuk mencapai satu tahap kesaksamaan gender yang melayakkan wanita mendapat hak sama rata dalam isu kenaikan pangkat, ujarnya.
“Antara bentuk bentuk diskiriminasi yang berlaku terhadap wanita ialah kesukaran dalam kenaikan pangkat, cuti bersalin yang tidak berbayar dan juga gangguan seksual di tempat bekerja," jelasnya lagi.
Cerita Sebalik Berita: Apa peranan Gender Focal Team?
Kesaksamaan gender adalah akar umbi yang membolehkan potensi lelaki dan wanita menjadi seimbang demi menjamin ekonomi yang lebih makmur dan maju sekali gus mengahalang keganasan terhadap pekerja wanita, tegas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa kesedaran berkaitan kesaksamaan gender haruslah didedahkan pada peringkat awal lagi dengan merangka kokurikulum dan program akademik melibatkan analisis gender di alam persekolahan.
Institusi pedidikan tinggi juga tambahnya memainkan peranan penting seperti membina modul atau kemahiran dalam sektor menganalisis gender, dan juga melahirkan program elektif atau minor yang berkaitan pembinaan analisis gender.
#GFT #wanita #Gender Focal Team #Ismail Sabri