Sam Hew 36, anak jati Kemaman, Terengganu telah mula mengumpul barangan Coca-Cola sejak dari tahun 1996 dan ia dimulakan apabila beliau terlihat poster-poster klasik Coca-Cola yang sering digantung di kedai-kedai kopi dan kedai runcit di kampung sekitar Kemaman.
"Saya mempunyai minat dengan poster-poster iklan 'retro' terutama daripada Coca-Cola kerana ianya mempunyai nilainya tersendiri. Mungkin pada zaman dahulu, poster-poster iklan ini tidak dipandang sebagai sesuatu yang mempunyai nilai tinggi tetapi nilainya itu akan meningkat tinggi beberapa tahun kemudian," katanya kepada Astro Awani ketika ditemui di 'Coca-Cola Collectors Fair 2014' di sebuah pusat membeli belah di sini semalam.
RETRO: Koleksi Coca-Cola termasuk poster iklan milik Hew ini telah dikumpul dari tahun 1996.
Menurutnya, disebabkan minatnya itu, beliau sanggup pergi ke kedai kopi atau kedai runcit dan meminta kebenaran pemilik kedai untuk memiliki poster iklan atau dekorasi 'button' Coca-Cola yang sudah tidak digantung dan mahu dibuang."Lazimnya saya sering pergi ke kedai-kedai kopi atau kedai runcit di kampung-kampung lama yang terletak di daerah-daerah luar bandar kerana khazanah-khazanah ini akan sering dijumpai. Ada poster Coca-Cola ini merupakan poster klasik tahun 50an dan kebanyakan pemilik kedai tidak ada masalah untuk memberikan kepada saya poster-poster mahupun beberapa dekorasi 'button' Coca-Cola yang digantung di dinding-dinding kedai kerana mereka pun tidak mahu menyimpan poster atau 'button' Coca-Cola ini terlalu lama dalam kedai mereka," kata Hew lagi.
Lazimnya, poster-poster lama ini akan diberikan kepada Hew apabila promosi sesuatu minuman Coca-Cola itu tamat dan diganti dengan poster baru.
Koleksi barangan Coca-Cola milik Hew meliputi hampir 20,000 tin dan botol minuman dan 5,000 poster iklan daripada pelbagai tahun dan edisi dan semuanya itu adalah koleksi daripada tempatan.
"Selain daripada poster iklan dan 'button' Coca-Cola, saya turut mempunyai koleksi tin dan botol minuman Coca-Cola yang saya kumpul mengikut tahun-tahun pengeluaran sebagai contoh, saya mempunyai sebuah tin minuman Coca-Cola yang mempunyai lambang promosi Tahun Melawat Malaysia 1986 dan ada pengumpul tegar Coca-Cola seperti saya pernah menawarkan ribuan ringgit untuk membeli tin koleksi saya itu,".
Klik galeri foto Pameran Koleksi Coca-Cola
Hew menjelaskan bahawa sememangnya tawaran wang yang diberikan untuk koleksi tin minuman yang beliau kumpulkan itu adalah sesuatu yang sukar untuk ditolak namun disebabkan kesedaran betapa susahnya untuk memperoleh barangan tersebut menyebabkan beliau tidak begitu gemar barangannya itu ditukar dengan wang.
"Saya adalah pengumpul barangan ini dan jika boleh saya mahu ianya ditukarkan juga dengan koleksi barangan yang sama. Wang boleh dicari namun kesungguhan daripada usaha mencari barangan Coca-Cola yang sekarang ini sukar untuk didapati dimana-mana adalah melebihi segala-galanya termasuk wang,".
Beliau kini sudah dua tahun menetap di Johor Bahru setelah 13 tahun berkelana ke Kanada dan United Kingdom dan beliau mempunyai perancangan untuk membuka kedai kopi dan galeri untuk koleksi peribadi Coca-Colanya.
"Saya ingin membuka kedai kopi dimana pada tingkat bawahnya dibuat untuk makan dan minum dan tingkat atasnya pula dibuat sebagai galeri untuk memperagakan koleksi Coca-Cola saya jadi pelanggan bukan sahaja boleh menikmati juadah malah boleh juga melawat ke galeri saya untuk melihat koleksi barangan Coca-Cola yang saya ada,".
Lain pula bagi, Norwanis Mohd Nor, 33 dari Johor Bahru yang turut mengumpul beberapa poster iklan Coca-Cola ini dimana beliau memperoleh poster iklan itu apabila syarikat Coca-Cola berpisah operasi dengan syarikat F&N pada tahun 2010.
MODEN: Apabila Syarikat Coca-Cola Malaysia berpisah operasi dengan Syarikat F&N, poster-poster ini kemudiannya diberikan kepada Norwanis.
"Saya merupakan staf F&N/Coca-Cola dan sudah bekerja dengan syarikat ini sejak 2002 di Shah Alam dan apabila syarikat Coca-Cola berpisah dengan F&N pada tahun 2010, banyak poster-poster iklan Coca-Cola ini mahu dibersihkan dan dibuang namun saya telah meminta kebenaran pihak syarikat Coca-Cola untuk memiliki poster iklan itu dan mereka memberikannya kepada saya," kata Norwanis.
Selain daripada poster iklan, Norwanis juga turut mempunyai sebuah dulang Coca-Cola edisi tahun 1963 dalam koleksinya.
"Seorang staf lama F&N/Coca-Cola ini sebelum bersara telah memberinya kepada saya sebagai kenang-kenangan dan dulang ini walaupun sudah agak berkarat sedikit namun nilainya amat tinggi kerana ianya merupakan edisi tahun 1963,".
Sementara itu, Pengurus Besar Coca-Cola untuk Singapura, Malaysia dan Brunei, Gill McLaren memberitahu, Coca-Cola Collectors Fair ini diadakan setiap bulan Mei bersempena perayaan Hari Coca-Cola pada 8 Mei bagi memperingati julung kalinya Coca-Cola dkeluarkan di Atlanta, Georgia di Amerika Syarikat pada tahun 1886.
"Acara yang dijalankan di Malaysia ini pada mulanya diadakan secara kecil-kecilan dan bermula pada tahun 2010 ianya telah berkembang menjadi sebuah acara tahunan yang disertai oleh peserta-pserta daripada luar negara," kata Gill kepada pemberita.
Menurutnya lagi, pada tahun ini acara tersebut berjaya mengumpulkan 60 orang peserta dari Sepanyol, Itali, Amerika Syarikat, Hong Kong, Macau, Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan juga tuan rumah, Malaysia.
"Sejak dimulakan empat tahun lalu sempenan ulang tahun Coca-Cola yang ke-125, acara ini telah menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh pengumpul koleksi dan memorabilia Coca-Cola dari seluruh dunia untuk mempamerkan koleksi mereka dan bertukar-tukar koleksi dengan pengumpul barangan tersebut yang lain. Malah, pengunjung juga turut berpeluang untuk membawa pulang koleksi barangan ini,".