Selepas Pakatan Rakyat (PR) memfailkan 24 petisyen Pilihan Raya semalam, giliran Barisan Nasional pula berbuat demikian.

BN telah mengambil keputusan untuk memfailkan 21 petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berkuatkuasa pada hari ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan medianya kepada Astro Awani menyatakan bahawa pada awalnya BN merancang untuk memfailkan 50 petisyen.

“Namun, setelah kita mempertimbangkan nasihat yang diberikan oleh pasukan petugas undang-undang, kita telah memutuskan untuk memfailkan hanya 21 petisyen sahaja setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk bagi tujuan menjimatkan masa mahkamah dan mengelakkan perbelanjaan yang tidak munasabah,” kata Tengku Adnan.

Selain itu juga, BN tidak mahu membangkitkan isu-isu remeh semata-mata di mahkamah dan kerana itu, petisyen yang difailkan ini diharapkan mempunyai asas yang mereka percaya kukuh dan mempunyai merit yang wajar dipertimbangkan oleh mahkamah kelak.

“Kami berharap dan percaya bahawa perkara-perkara ini juga dipertimbangkan oleh pihak pembangkang dalam memfailkan petisyen PRU13 mereka dan diharapkan isu-isu remeh tidak dibangkitkan di mahkamah,” beliau berkata.

Beliau percaya banteng kerajaan yang dipimpin ileh BN akan kekal dan akan berjaya melaksanakan tanggungjawab yang telah diamahkan oleh rakyat kepada mereka.

Semalam, Pakatan Rakyat (PR) memfailkan 24 petisyen di kawasan Parlimen serta 10 petisyen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung keputusan pilihan raya umum ke-13