Mercedes-Benz Malaysia (MBM) sudah melancarkan model terbarunya, GLA, iaitu SUV kompak pertama yang dihasilkan oleh jenama yang diasaskan di Stuttgart, Jerman itu. Model ini satu jawapan yang agak lambat tiba untuk menyaingi model-model seperti BMW X1 dan Audi Q3 tetapi Mercedes yakin dengan kekuatan yang ia ada.
GLA ini juga menyempurnakan barisan model yang termasuk di dalam perancangan Kereta Kompak Generasi Terbaru (NGCC) oleh Mercedes-Benz. “Dengan barisan model yang luas, bukan sahaja kami dapat mensasarkan pelanggan segmen baharu, tetapi menambahkan lagi peluang membeli kenderaan Mercedes-Benz pada tahap kompetitif. Ada permintaan yang sihat untuk kereta-kereta kami; walaupun cukai barangan dan perkhidmatan bakal mendatang – yang tidak akan dirasai oleh pembeli kami secara terus – kami percaya akan ada perkembangan ekonomi,” kata Roland Folger, presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia.
Mercedes GLA ini akan dijual di dalam 2 varian ‘biasa’ iaitu GLA200 dan GLA250 4Matic; dan juga GLA 45 AMG, kesemuanya diimport. Spesifikasi dan harga adalah seperti berikut:
Model | GLA 200 | GLA 250 | ||||||
Enjin | 1595cc, 4-silinder sebaris, direct injection, pengecas turbo | 1991cc, 4-silinder sebaris, direct injection, pengecas turbo | ||||||
Kotak gear | 7G-DCT (klac berkembar), pacuan semua roda 4Matic (untuk GLA 250) | |||||||
Prestasi | 156bhp @ 5,300rpm, 250Nm @ 1,250 - 4,000rpm | 211bhp @ 5,500rpm, 350Nm @ 1,200 - 4,000rpm | ||||||
Potensi | 0-100km/j @ 8.9 saat, Maksima 215km/j | 0-100km/j @ 7.1 saat, Maksima 230km/j | ||||||
Berat | 1395kg | 1505kg | ||||||
Harga | RM238,888 (atas jalan tanpa insurans) | RM268,888 (atas jalan tanpa insurans) |
Klik sini untuk galeri gambar GLA 200
Klik sini untuk galeri gambar GLA 250 4MATIC
Walaupun sebuah SUV kompak, masih ada ruang yang memadai untuk menonjolkan kemampuan pratikalnya. Keluasan untuk kargo bermula daripada 421 liter dan boleh membesar sehingga 1235 liter dengan melipat kerusi belakang. Meletak dan mengeluarkan barangan juga dipermudahkan dengan ketinggian kenderaan yang rendah serta pintu ruang kargo yang dikuasakan motor elektrik.
Selain dari rekaan badan yang jelas berkongsi inspirasi dengan A-Class (termasuk menggunakan platform yang sama), model baru ini juga mempunyai kabin yang menyerupai model hatchback itu. Ini termasuk lima corong penghawa dingin berbentuk bulat yang dimuatkan di dalam papan kemuka serta skrin di atas konsol tengah.
Turut menarik adalah sistem suspensi model ini yang sememangnya tidak diberikan ketinggian tambahan untuk menepati kehendak gaya hidup urban. Dua pilihan suspensi diberikan (yang terikat kepada varian GLA masing-masing): suspensi ‘off-road’ untuk GLA 200 yang dinaikkan sebanyak 30mm; dan suspensi sport untuk GLA 250 4MATIC yang lebih keras (juga 15mm lebih rendah) untuk pemanduan lebih dinamik.
Pacuan semua roda 4Matic pada varian GLA 250 sudah ditambah baik sebagai generasi terbaharu dengan tork bolehubah sepenuhnya. Ia juga mempunyai kebolehan untuk mengawal kelajuan kenderaan sewaktu menurun bukit (Downhill Speed Regulation atau DSR) di samping dengan pilihan mod transmisi off-road. Fungsi DSR dicapai dengan sistem kawalan transmisi dan enjin, serta penggunaan brek yang khusus.
GLA 45 AMG
Varian GLA 45 AMG pula nyata untuk mereka yang tertarik dengan 360hp yang ada. Seperti yang dapat dilihat pada rajah spesifikasi di bawah, varian ini walaupun menggunakan enjin 4-silinder, masih mampu untuk memberikan prestasi yang hebat – 0-100km/j dalam masa hanya 4.8 saat, pada masa sama dikatakan mempunyai kadar penggunaan bahan api petrol hanya 7.5 liter untuk setiap 100km.
Prestasi enjin ini datang daripada, antara lain, penggunaan penyuntik bahan api piezo dengan tekanan 200 bar, teknologi pelapik silinder Nanoslide dan gegelung piston kurang geseran.
Isu tindak balas yang lemah untuk enjin berkapasiti rendah dielak dengan menggunakan pengecas turbo skrol berkembar. Dengan turut menggunakan tekanan-balik gas ekzos, penjanaan tork pada kelajuan enjin rendah dapat dipercepatkan. Model ini juga dilengkapi dengan sistem ekzos sport yang mempunyai flap automatik agar dapat memberikan bunyi garang yang menjadi ciri AMG.
Klik sini untuk galeri gambar GLA 45 AMG
Secara khususnya, pembeli GLA AMG 45 AMG di Malaysia akan mendapat tambahbaik ‘Edition 1’ secara standard. Perbezaan yang ada adalah dari segi perincian; antara lain ini termasuk pakej Aerodinamik yang merangkumi aerofoil belakang dan apron hadapan. Aloi 10-jejari AMG dipadankan dengan kaliper brek warna merah.
Kabin pula kelihatan hebat dengan dominasi bahan kulit buatan jenis Artico dan fiber mikro Dinamica dengan warna-warna hitam dan merah. Seperti biasa, perkataan AMG banyak dilihat di pelbagai tempat dengan penambahan ‘Edition 1’.
Model | GLA 45 AMG | |||
Enjin | 1991cc, 4-silinder sebaris, direct injection, pengecas turbo | |||
Kotak gear | AMG Speedshift DCT 7-kelajuan, pacuan semua roda | |||
Prestasi | 360hp @ 6,000rpm, 450Nm @ 2,250 - 5,000rpm | |||
Potensi | 0-100km/j @ 4.8 saat, Maksima 250km/j | |||
Berat | 1510kg | |||
Harga | RM378,888 (atas jalan tanpa insurans) |