'Glamping with Pride' dibatalkan, penganjur dakwa terima ugutan bunuh

Penganjur mendakwa, pihaknya menerima ugutan bunuh dan ancaman keganasan di media sosial selain mengesahkan pemilik lokasi aktiviti itu juga telah membatalkan tempahan atas faktor keselamatan.
KUALA LUMPUR: Organisasi Jejaka yang menganjurkan ‘Glamping with Pride’ mengambil keputusan tidak meneruskan program atas faktor keselamatan.
Penganjur turut mendakwa, pihaknya menerima ugutan bunuh dan ancaman keganasan di media sosial.
Jejaka memaklumkan, pemilik lokasi aktiviti itu juga telah membatalkan tempahan atas faktor keselamatan.
“Ancaman-ancaman ini sudah didokumenkan dan akan dirujuk kepada pihak berkuasa melalui laporan polis,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Jejaka mendakwa, pembatalan berkenaan bukan kerana aktiviti tersebut salah di sisi undang-undang, tetapi disebabkan retorik tidak bertanggungjawab dan kecelaruan maklumat.
Katanya, sebelum isu penganjuran ini disensasikan, Jejaka hanya menerima 14 peserta, namun dalam tempoh beberapa hari, seramai 50 orang menyatakan minat untuk turut serta.
"Akibat ketakutan dengan ugutan yang dicetuskan, 50 individu terbabit kini kehilangan ruang yang selamat untuk berkumpul dan belajar mengenai kesihatan di ruang alam semula jadi Malaysia. Ini adalah kesan sebenar stigma dan kepanikan moral.
"Kami juga kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang gagal menenangkan keadaan. Mereka gagal menjalankan tugas mereka untuk mempertahankan golongan minoriti daripada ancaman malah lebih memburukkan lagi situasi ini.
"Ancaman keganasan terhadap mana-mana pihak bukanlah penyelesaian bagi apa-apa perbezaan pandangan," dakwa Jejaka dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


