MALAYSIA
Global Sumud Flotilla: Malaysia tidak akan berkompromi dengan kezaliman Israel - Fadillah

Fadillah menyifatkan tindakan Israel sebagai penghinaan terhadap kemanusiaan sejagat dan menekankan misi GSF sebagai simbol solidariti serta harapan dunia kepada Palestin. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi dengan tindakan zalim rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi dengan tindakan zalim Israel terhadap misi Global Sumud Flotilla dan akan menggunakan saluran sah untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia.
- Beliau menyifatkan tindakan Israel sebagai penghinaan terhadap kemanusiaan sejagat dan menekankan misi GSF sebagai simbol solidariti serta harapan dunia kepada Palestin.
- Setakat 7.50 pagi, seramai 17 rakyat Malaysia termasuk beberapa selebriti dilaporkan terputus hubungan selepas kapal mereka dipintas oleh tentera Israel.
"Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia akan menggunakan segala saluran sah dan diplomatik bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya apabila keselamatan rakyat Malaysia terlibat," katanya menerusi hantaran Facebook.
Fadillah berkata dunia sekali lagi menyaksikan wajah sebenar Israel, sebuah rejim penjajah yang tidak menghormati undang-undang dan nyawa, malah sanggup menindas misi kemanusiaan yang membawa sukarelawan dan bekalan penting untuk rakyat Palestin yang kini berdepan intimidasi, kekerasan dan paksaan.
Beliau menegaskan misi itu bukan sahaja membawa bantuan, tetapi juga simbol solidariti, kasih sayang dan harapan dunia terhadap Palestin.
"Tindakan Israel bukan sahaja kezaliman terhadap rakyat Gaza, malah penghinaan terhadap suara kemanusiaan sejagat," katanya.
Fadillah menambah kerajaan akan terus tegas bersuara di peringkat antarabangsa, mendesak agar keadilan ditegakkan dan hak rakyat Palestin dikembalikan.
"Kemanusiaan tidak boleh dijadikan tebusan. Malaysia berdiri teguh bersama Palestin, sehingga keadilan dan kebebasan menjadi milik mereka," tambahnya.
Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, sebanyak 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas tentera Israel.
Mereka termasuk penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial hari ini memaklumkan beliau dan pasukannya sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan, termasuk melalui saluran diplomatik, bagi memastikan sukarelawan serta aktivis dari Malaysia, ASEAN dan antarabangsa yang menyertai misi GSF dibebaskan segera.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami