Skip to main content

Malaysia

Diskaun 30 peratus tiket ETS, ERT Isnin hingga Khamis bermula 15 April – MOT

Anthony Loke, ETS, ERT, kos bahan apo
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook Sidang Media Berhubung Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di Putrajaya pada Selasa. - Foto Astro AWANI

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus bagi pembelian tiket tren elektrik (ETS) semua sektor serta Ekspres Rakyat Timuran (ERT).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu melibatkan semua sektor ETS serta laluan JB Sentral – Tumpat – JB Sentral bagi perkhidmatan ERT.

Advertisement

Menurut beliau, tawaran tersebut hanya terpakai bagi perjalanan pada hari Isnin hingga Khamis sebagai usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Inisiatif ini ditawarkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkasakan penggunaan pengangkutan awam melalui perkhidmatan kereta api yang lebih selesa, selamat dan efisien kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Berhubung Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di Putrajaya pada Selasa.

Beliau menambah, langkah itu juga bertujuan mengurangkan kos perjalanan serta meningkatkan mobiliti rakyat di samping menyokong agenda pengangkutan awam yang lebih mampan.

“Tawaran ini juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat memilih pengangkutan rel sebagai mod utama, sekali gus membantu mengurangkan kos perjalanan dan meningkatkan mobiliti,” ujarnya.

Bagaimanapun, diskaun tersebut tidak terpakai semasa musim cuti sekolah dan cuti umum bagi memastikan pengurusan kapasiti tren dapat dilaksanakan dengan lebih efisien ketika permintaan tinggi.

Tawaran ini boleh dinikmati melalui pembelian tiket menggunakan kod promosi yang akan diumumkan oleh KTMB bermula 15 hingga 30 April 2026, bagi tempoh perjalanan antara 15 April hingga 14 Oktober 2026.

Namun, ia tidak melibatkan tiket kelas perniagaan ETS, kelas satu serta tempat tidur bagi ERT, selain tidak terpakai kepada pemegang tiket konsesi.

Orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal bagi memanfaatkan tawaran penjimatan yang disediakan.

Must Watch Video