KUCHING: Golongan belia digalakkan merebut peluang bagi menceburi industri koko susulan perancangan Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk membuka 200 hektar kawasan tanaman koko baharu di seluruh negara pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata anak muda tempatan terlatih diperlukan bagi mengembangkan potensi komoditi berkenaan, bersesuaian dengan kehendak revolusi industri 4.0 (IR4.0) yang memfokuskan penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi.

"Kita menuju IR4.0... kerana itu kita perlukan belia kerana mereka dilatih secara teknikal dan mereka lebih mesra gajet. Maknanya, kita menggunakan semua teknologi untuk memastikan kita memodenkan sektor perladangan dan pertanian kita in what way we can benefit supaya pemain industri dapat menambah hasil," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Penerangan dan Dialog Guna Tenaga Agrikomoditi 2023 di sini, hari ini.

Fadillah berkata bagi meningkatkan penanaman industri koko negara, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan meneliti secara keseluruhan ekosistem industri koko membabitkan peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

"Kebiasaannya syarikat besar mempunyai dana untuk beralih kepada mekanisasi dan automasi namun bagi syarikat dan pekebun kecil, mereka boleh memohon bantuan daripada kerajaan dan kita sedia membantu," katanya.

Pada 11 Jun lepas, KPK dalam satu kenyataan memaklumkan kawasan tanaman baharu itu meliputi 110 hektar di Sabah, 80 hektar di Semenanjung Malaysia dan 10 hektar di Sarawak.

Setakat ini, jumlah keluasan tanaman koko negara adalah 5,985 hektar, iaitu 3,444 hektar di Sabah, 1,454 hektar di Sarawak dan 1,087 hektar di Semenanjung.

Mengulas mengenai kedudukan Malaysia yang kini disenarai pada Tahap 2 Pemerhatian menerusi Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) 2023, Fadillah berkata peningkatan berkenaan menunjukkan hasil kerjasama dan usaha semua pihak dalam memastikan Malaysia melaksanakan amalan baik bagi menangani isu pemerdagangan orang, penyeludupan migran dan buruh paksa serta melaksanakan penguatkuasaan.

Beliau berkata perkembangan positif itu memberi impak kepada aktiviti perdagangan dalam dan luar negara serta menghapuskan persepsi negatif mengenai isu buruh paksa di Malaysia.

"Di luar negara pun, aktiviti perladangan adalah sebahagian daripada perniagaan keluarga, jadi apabila mereka turun (ke ladang) kadang-kadang anak-anak pun dibawa sekali justeru ia merupakan perkara biasa...selagi kita tidak mendera atau memaksa untuk bekerja.

"Perkara ini kita perlu menjelaskan kepada mereka," katanya sambil menambah Malaysia berada di kedudukan Tahap 3 pada 2021 dan 2022.

Pada 16 Jun lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika mengumumkan laporan TIP berkata kerajaan akan meningkatkan usaha dalam mendakwa dan menyabitkan kes terhadap penjawat awam yang didapati bersubahat dalam aktiviti pemerdagangan orang atau buruh paksa.

Saifuddin berkata perkara itu menjadi keutamaan kerajaan apabila ia merupakan antara 15 syor penambahbaikan yang dikemukakan dalam laporan JNAS.

-- BERNAMA