Skip to main content

Malaysia

Golongan M40 antara fokus kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR, 4 Jan -- Orang ramai serta pelancong dari luar negara dilihat berjalan kaki melintasi 'Lintasan Shibuya' di Bukit Bintang, hasil tinjauan fotoBernama hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tumpuan terhadap kedua-dua golongan itu diberikan memandangkan mereka antara yang paling terkesan dengan tekanan ekonomi dan cabaran kos sara hidup semasa. - Gambar hiasan/BERNAMA
Advertisement

LUMUT: Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan bulan depan dijangka memberi tumpuan khusus kepada usaha menangani isu sosioekonomi, merangkumi kebajikan golongan berpendapatan pertengahan (M40) serta kumpulan kurang berkemampuan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata tumpuan terhadap kedua-dua golongan itu diberikan memandangkan mereka antara yang paling terkesan dengan tekanan ekonomi dan cabaran kos sara hidup semasa.

“Belanjawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri nanti adalah satu lagi belanjawan yang lebih inklusif, lebih dekat dengan rakyat dan sedikit sebanyak dapat menyelesaikan beberapa permasalahan serta isu yang berbangkit.

“Buat masa ini, pihak terlibat masih lagi menjalankan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh bagi memuktamadkan belanjawan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Adat Istiadat Khatam Keris Peringkat Kebangsaan anjuran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Perak dan Perhimpunan Silat Anak-Anak Gayong Perak di Teluk Batik Campsite di sini pada Ahad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Okt ini.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata inisiatif sedia ada seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan terus diperkukuh bagi meringankan beban kewangan isi rumah.

"Dasar-dasar (bantuan) seperti STR dan SARA itu akan diteruskan dan kita nantikan pengumuman lanjut oleh Menteri Kewangan, iaitu Perdana Menteri,” katanya.

Muhammad Kamil berkata pertimbangan turut diberikan terhadap cadangan penambahbaikan inisiatif dan penawaran bentuk sokongan kewangan lain bagi meringankan beban isi rumah golongan pertengahan.

“Keutamaan kerajaan juga terarah kepada usaha memastikan kestabilan politik dan ekonomi kekal teguh demi menjamin kelancaran pelaksanaan dasar-dasar negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement