KANGAR: Walaupun golongan ini terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), namun, mereka tidak takut untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Dalam tinjauan Astro AWANI di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini, hari ini, beberapa penerima daripada golongan itu berkongsi pengalaman mereka.

Bagi Remli Abas, 62, yang cacat penglihatan, dia sangat teruja dan gembira mendapatkan suntikan vaksin.

Kata Remli, selepas menerima dos terbabit, dia yakin mampu menyelamatkan dirinya dan orang lain yang berada di sekitarnya.

Menurutnya, sekalipun sebelum ini dia ada mendengar pelbagai khabar kurang enak, namun,  selepas menerima suntikan itu, kesemua dakyah yang disampaikan sekadar untuk menakutkan orang ramai sahaja.

“Nasihat pakcik (kepada orang ramai) jangan dengar cakap orang (yang sebar dakyah palsu). (Harus diingatkan) kesemua (vaksin) ini untuk kesihatan diri sendiri, untuk jaga diri kita,” ujar Remli lagi.

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail

Remli anggap dirinya bertuah kerana mendapat peluang disuntik memandangkan namanya sememangnya sudah  berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pakcik pernah dengar dalam radio dia orang cakap orang oku warga emas yang berdaftar dengan JKM secara automatik akan didaftar terus (menerima suntikan) dan hari ini dipanggil untuk terima… Alhamdulillah,” kata Remli penuh syukur.

Norazlin Nyan, 28, pula menyifatkan, pemberian vaksin ini sekurang-kurangnya membuatkan golongan sepertinya tidak berasa sangsi apabila berada dalam kalangan masyarakat.

Katanya, dia telah mendaftar melalui aplikasi Mysejahtera dengan pertolongan rakannya namun tidak menyangka menerima perkhabaran gembira dapat disuntik hari ini.

“Memang hendak (keinginan) cucuk vaksin sudah lama ada, selepas kawan-kawan ajak (datang) cucuk hari ini, saya terus datang sini… tak ada pula rasa takut sebab ramai yang datang. Alhamdulillah tidak ada apa-apa masalah,” kata Norazlin lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis (Bahagian Kesihatan Awam), Dr Mohd Safiee Ismail berkata, Jabatan Kesihatan Negeri dan JKM telah mengambil inisiatif bagi memastikan seramai 600 OKU yang didaftarkan di negeri itu divaksinkan di PPV bergerak di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, hari ini.

Katanya, menyedari golongan ini sukar untuk ke PPV, langkah ini memudahkan mereka datang ke tempat mereka dan terus disuntik.

Seramai 60 orang mendaftar untuk menerima vaksin pada hari ini membabitkan 18 OKU penglihatan manakala bakinya adalah penjaga mereka.

Menyusul selepas ini, kata Dr Mohd Safiee, pihaknya akan memberi tumpuan pada golongan kurang yang keuzuran, terlantar dan tidak mampu begerak.

“Kita sudah berhubung dengan JKM untuk kenal pasti mereka yang terlantar. Sebelum suntikan diberi, kita akan lakukan pemeriksaan terlebih dahulu sama ada mereka ada jangkitan COVID-19 atau tidak.

“Seramai 600 orang dianggarkan kesemuanya. Insya-Allah kita akan atur bagaimana untuk berkunjung dari rumah ke rumah untuk memberi suntikan pada golongan ini,” jelas beliau lagi.