GPM Malaysia gerakkan misi bantuan banjir di Aceh

Misi berkenaan dilaksanakan di bawah kerangka Ops Ihsan, inisiatif khas yang diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia.
KUALA LUMPUR: Global Peace Mission (GPM) Malaysia meneruskan misi kemanusiaannya di Aceh susulan banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Sumatera.
GPM Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bagi membantu penduduk yang terjejas, GPM Malaysia bersama GPM Aceh telah menghantar pasukan awal ke lapangan untuk menjalankan misi bantuan selama 10 hari.
Misi berkenaan dilaksanakan di bawah kerangka Ops Ihsan, inisiatif khas yang diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia.
Bantuan yang disalurkan meliputi pek makanan, ubat-ubatan asas, dapur umum dan bekalan air bersih, kit ibadah dan kebersihan, selain sokongan awal pemulihan harian.
GPM Malaysia turut melahirkan rasa simpati dan keprihatinan yang mendalam terhadap rakyat Aceh yang sedang diuji dengan bencana banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Sumatera.
Ujar kenyataan itu, walaupun bencana tsunami 2004 meragut lebih banyak nyawa, banjir kali ini mencetuskan kemusnahan yang lebih meluas sehingga melumpuhkan akses fizikal dan keperluan asas di sebahagian besar kawasan terjejas.
Ini kerana bencana ini telah menyebabkan kemusnahan infrastruktur secara meluas, menjejaskan ribuan keluarga, serta menghadkan akses kepada keperluan asas seperti elektrik, makanan, air bersih dan tempat tinggal.
Orang ramai yang ingin menyokong misi bantuan tersebut boleh menyalurkan sumbangan melalui pautan www.jomsedekah.com/banjiraceh, http://www.jomsedekah.com/banjiraceh) atau akaun Maybank Global Peace Mission (5642 2162 5835) dengan rujukan 'Banjir Aceh'.
Perkembangan terkini misi juga boleh diikuti melalui platform rasmi GPM Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


