Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menolak permintaan MCA mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah Cina bagi kemasukan ke universiti awam.

Pengerusi GPMS, Zambri Mohd Isa menegaskan, kerajaan tidak boleh mengiktiraf UEC kerana ia membelakangi sistem pendidikan negara lantaran tidak mahu mematuhi kurikulum kebangsaan, sebaliknya mengguna pakai kurikulum dari Taiwan.

Pada masa sama, GPMS turut meragui ketelusan UEC kerana ia tidak dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia tetapi badan persendirian Cina.

"GPMS memahami Datuk Seri merupakan perdana menteri seluruh rakyat Malaysia tanpa batasan, kaum dan agama. Namun GPMS berharap isu ini dapat ditimbang semula kerana UEC ini bukan merujuk kepada soal kaum tetapi menghormati Dasar Pendidikan Kebangsaan dan UEC jelas tidak menghormati sistem pendidikan.

"Lagipun kita tidak nampak keikhlasan mereka untuk mengintegrasikan UEC dan SPM, sebaliknya mencari jalan sendiri, mahu menggunakan sistem mereka sahaja.

"Sehubungan itu, tidak harus wujud dua sistem peperiksaan bagi kemasukan ke universiti awam yang akan menjejaskan peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia," katanya ketika berucap sempena Persidangan Agung Tahunan GPMS kali ke-62 di sini hari ini.

Walaupun ketika menyampaikan ucapan itu Zambri tidak menamakan parti politik yang membuat gesaan berhubung isu itu, Zambri sebenarnya merujuk kepada gesaan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mahu kerajaan mempercepatkan proses mengiktiraf UEC sekolah Cina bagi kemasukan ke universiti awam ketika berucap pada Perhimpunan Agung MCA Ke-63.

Zambri menambah, penerimaan UEC itu dalam kemasukan ke universiti awam akan hanya menyebabkan berlaku kecelaruan dalam sistem pendidikan, yang mana akan menyebabkan jurang antara kaum terutama Melayu dan bukan Melayu semakin melebar.

"GPMS dengan sekeras-kerasnya menolak sebarang pengiktirafan ke atas peperiksaan UEC kerana ia tidak menepati piawaian dasar pendidikan kebangsaan kerana mengguna pakai kurikulum yang diambil dari Taiwan," tegasnya.