KUALA LUMPUR: Grab Holdings Limited dan Singtel hari ini mengumumkan bahawa GXS Bank Pte. Ltd., usaha sama bank digital mereka, dan konsortium pelabur Malaysia termasuk Kuok Brothers Sdn. Bhd telah dipilih untuk menerima lesen perbankan digital penuh di Malaysia, tertakluk pada memenuhi semua syarat kawal selia Bank Negara Malaysia.

Usaha sama bank digital itu akan memegang 55.45 peratus kepentingan dalam bank digital Malaysia yang dicadangkan, yang akan diketuai oleh Pei Si Lai, seorang veteran industri perkhidmatan kewangan sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Lai akan membawa pengalaman luas selama 25 tahun dalam perbankan runcit, pengurusan kekayaan, kewangan korporat, pengurusan produk dan perniagaan, serta tadbir urus, dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Sebelum memegang jawatan sekarang, beliau adalah Pengarah Urusan dan Ketua Nasional, Perbankan Pengguna, Swasta dan Perniagaan untuk Standard Chartered Malaysia.

“Peluang untuk membina bank digital Malaysia dari bawah dan berada di barisan hadapan dalam landskap FinTech Malaysia yang berkembang pesat adalah sangat mengujakan.

"Selain daripada memanfaatkan teknologi perbankan tangkas yang membolehkan kami menawarkan pengalaman perbankan yang disesuaikan dan unik untuk pengguna kami, saya dan pasukan juga akan memanfaatkan sokongan padu daripada pemegang saham dan rakan kongsi strategik kami, serta bimbingan daripada Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan, untuk melaksanakan misi kami dalam berkhidmat dan memperkasakan komuniti Malaysia yang tidak mempunyai simpanan seperti pekerja gig dan perniagaan kecil.

"Kami juga akan bekerjasama secara aktif dengan pemain industri terkemuka untuk memajukan landskap kewangan Malaysia," kata Lai dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Bank digital yang akan ditubuhkan oleh konsortium bank digital Malaysia itu dijangka membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro tempatan dan segmen lain yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan seperti pekerja ekonomi gig untuk mengakses rangkaian perkhidmatan kewangan yang akan memberi perkhidmatan kepada mereka melalui kitaran hayat mereka.

PKS dijangka menjadi penerima manfaat utama perbankan digital.

Mereka membentuk tulang belakang ekonomi Malaysia, mewakili lebih 97 peratus daripada keseluruhan pertubuhan perniagaan, menyumbang kira-kira 38 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menggaji hampir separuh daripada penduduk.

“Konsortium bank digital Malaysia berbesar hati diberi peluang untuk membina bank digital generasi akan datang dan memacu akses kepada perkhidmatan kewangan untuk rakyat Malaysia yang kurang bank. Kami berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia atas kepercayaan mereka kepada kami.

"Kami akan memanfaatkan gabungan kekuatan konsortium itu termasuk kepakaran teknologi kami, data daripada pengguna menggunakan perkhidmatan harian, pengalaman menyediakan perkhidmatan kewangan di seluruh Asia Tenggara dan pemahaman mendalam tentang pasaran Malaysia, mentakrifkan semula pengalaman perbankan untuk rakyat Malaysia menambah baik hasil ekonomi mereka, perniagaan kecil akan mempunyai akses kepada modal pertumbuhan," kata Pengarah Urusan Kanan, Grab Financial Group (Digibank) dan ahli lembaga usaha sama digibank serantau, Reuben Lai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Singtel dan ahli lembaga usaha sama digibank serantau, Arthur Lang berkata, pihaknya gembira mendapat peluang untuk menyokong wawasan Malaysia bagi rangkuman kewangan yang lebih besar untuk rakyatnya.

"Rakan kongsi konsortium kami dan kami sendiri teruja untuk membina satu platform yang akan menyediakan perkhidmatan perbankan digital yang inovatif untuk mereka yang kurang perbankan serta PKS yang menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia.

"Ini sejajar dengan matlamat kami untuk memanfaatkan teknologi untuk memperkasakan orang ramai di seluruh rantau ini, membawa pilihan yang lebih besar dan perubahan positif sambil membina sesuatu yang istimewa bagi rantau ini. Kami berhasrat untuk memacu inovasi fintech yang akan mengubah pengalaman perbankan, menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, relevan dan berpatutan," kata beliau lagi.