Jumlah graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mendapat kelas pertama pada Majlis Konvokesyen Ke-29 hari ini meningkat kepada 24.1 peratus berbanding tahun lalu.

Naib Canselornya Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata tahun ini, sejumlah 653 graduan memperolehi kelas pertama dan ia membuktikan kualiti pendidikan yang terus meningkat di universiti berkenaan.

"Turut meningkat ialah jumlah graduan antarabangsa di universiti ini iaitu 428 orang dari 29 negara antaranya Nigeria, Iraq dan Indonesia.

"UUM merupakan universiti ketiga di kalangan universiti awam yang paling ramai melahirkan graduan antarabangsa selepas Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Malaya," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen yang disempurnakan Canselor UUM Tan Sri Tunku Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini.

Pada majlis konvokesyen itu, bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff dilantik sebagai Pro Canselor UUM yang baharu berkuatkuasa 1 September lalu.

Tunku Intan Safinaz turut berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan) kepada Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Samsudin Osman dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan) kepada Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd Datuk Ramly Mokni.

Sejumlah 6,737 graduan menerima ijazah masing-masing terdiri daripada 1,512 graduan pasca siswazah manakala bakinya adalah graduan Sarjana Muda.

Dr Mohamed Mustafa berkata penyertaan lebih ramai graduan luar negara juga membuktikan bahaswa UUM kini setanding dengan universiti terkemuka yang lain di dunia.

Beliau juga gembira apabila UUM menerima anugerah sebagai penerima Global Gold Award bagi Green World Awards 2016 for Education and Training anjuran The Green Organisation yang berpusat di Northampton, England.

"Kita (UUM) mengatasi Amman Arab University, Jordan yang mendapat Global Silver Winner dan Oxford Brookes University, England yang menerima Global Bronze Winner," katanya.

Menurutnya, program Masters of Business Administration atau MBA turut menerima akreditasi daripada The Association of MBAs yang berpusat di London yang merupakan akreditasi pertama diperolehi daripada badan antarabangsa.

Selain itu, kedudukan universiti itu dalam dunia akademik antarabangsa semakin mendapat perhatian apabila baru-baru ini tersenarai dalam Times Higher Education World University Rankings 2016-2017.

"UUM berada pada kedudukan 197 di Asia, 13 di Asia Tenggara dan keenam di Malaysia dalam senarai 980 universiti dari 79 negara," katanya.

-- BERNAMA