MALAYSIA
Graduan TVET jangan hanya 'makan gaji', disaran jadi usahawan - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan berkata, bidang TVET mempunyai potensi pendapatan tinggi serta permintaan masa depan yang luas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak hanya bergantung kepada pekerjaan 'makan gaji', sebaliknya menjadi usahawan teknikal atau technopreneur yang berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bidang TVET mempunyai potensi pendapatan tinggi serta permintaan masa depan yang luas, termasuk dalam teknologi seperti Building Information Modelling dan pelbagai cabang kejuruteraan teknikal.
“Kita tidak mahu keluaran TVET dalam pelbagai bidang ini hanya makan gaji dengan pihak swasta. Walaupun gajinya tinggi, apa yang kita harapkan ialah mereka mula-mula makan gaji, kemudian membuka perniagaan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan ASEAN TVET Friendly Match 2025 di sini, pada Isnin.Ahmad yang juga Ahli Majlis Majlis TVET Negara berkata, kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM50 juta bagi memperkasa usahawan TVET, dengan RM40 juta diberikan kepada pusat-pusat TVET dan RM10 juta disalurkan kepada kerajaan Melaka untuk melaksanakan program khas tekno-usahawan.
Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan memastikan dana tersebut dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan TVET, termasuk mewujudkan kurikulum keusahawanan di institusi-institusi TVET yang masih belum mempunyai modul tersebut.
"Sebagai contoh, Akademi Binaan Malaysia (CIDB) mula melaksanakan kurikulum keusahawanan, tetapi ia perlu dipertingkatkan lagi supaya graduan mampu menjadi usahawan selepas tamat pengajian," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, ASEAN TVET Friendly Match 2025 yang julung kali diadakan di Malaysia turut disifatkannya sebagai usaha penting dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang TVET, terutamanya dalam sektor pembinaan.
Pertandingan yang dianjurkan sempena Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 itu bertujuan memupuk ekosistem TVET yang mampan dan inklusif menerusi pendedahan peserta kepada piawaian pertandingan kemahiran antarabangsa, WorldSkills.
Majlis anjuran bersama Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu menyaksikan penyertaan seramai 40 peserta dari 12 negara, termasuk negara-negara ASEAN dan jemputan khas dari Asia.
Menurut Ahmad, penganjuran pertandingan ini selari dengan matlamat Malaysia untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta mengangkat nama negara dalam bidang kemahiran teknikal.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami