PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hari ini Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini secara rasmi menyertai Kerajaan Perpaduan.

Katanya, perkara itu dimaklumkan Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Dengan perkembangan terbaru itu, kerajaan pimpinannya secara jelas mencapai sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen, termasuk penglibatan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Hajiji memaklumkan bahawa GRS secara rasmi sertai Kerajaan Perpaduan.

"Ini bermakna kekuatan induk kita, termasuk GPS, kini sudah cecah dua pertiga sokongan Ahli Parlimen, yang akan perkukuh kestabilan politik negara," katanya pada sidang media hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini. 

Jumlah kerusi diperlukan untuk mendapatkan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat adalah 148 kerusi.

Terdahulu, beliau memulakan tugas hari pertamanya secara rasmi dengan mengimbas kad perakam waktu sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia. 

[LAPOR LANGSUNG] Anwar Ibrahim mula tugas sebagai PM10

Tambahnya, ketika ini, kerajaan yang akan diketuai beliau akan menumpukan perhatian kepada usaha untuk mengangkat martabat negara.

Pada masa sama, usaha untuk memperkukuh ekonomi juga akan digerakkan bagi membela nasib rakyat.

Pada sidang media sulungnya sebagai perdana menteri malam tadi, Anwar menegaskan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata tiga komponen terbesar yang membentuk Kerajaan Perpaduan adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan GPS. 

Semalam, Anwar menjemput parti serta gabungan politik lain untuk mendukung Kerajaan Perpaduan bagi membolehkan sebuah kerajaan yang kukuh mentadbir Malaysia.

Pasca PRU15 | GRS nyatakan persetujuan sertai kerajaan perpaduan