Skip to main content

Malaysia

GSF 2.0: 25 rakyat Malaysia sah diculik Israel

SUMUD NUSANTARA
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby ketika sidang media SNCC hari ini. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Seramai 25 rakyat Malaysia yang menyertai misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza, disahkan diculik rejim Zionis Israel.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata kapal yang dinaiki mereka telah dipintas sejak semalam ketika berada di perairan antarabangsa.

Namun, beliau berkata, keberadaan rakyat Malaysia berkenaan dan aktivis dari negara lain yang turut berada di atas kapal terbabit, masih menjadi tanda tanya.

"SNCC mengesahkan 15 kapal membabitkan 25 rakyat Malaysia terbabit dalam insiden haram itu (penculikan).

"Hingga kini, SNCC belum menerima pengesahan mengenai status semua aktivis ditahan itu, termasuk lokasi dan destinasi pemindahan mereka selepas dipintas.

"Kami juga menerima laporan visual mengesahkan semua aktivis telah diculik keluar dari kapal masing-masing secara paksa ke empat kapal tentera pihak rejim," katanya pada sidang media di SNCC, hari ini.

Pada Selasa, media melaporkan jumlah rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ditahan tentera Israel setakat ini meningkat kepada 16 orang.

Perkembangan  jam 7.05 malam itu dikongsi melalui paparan langsung yang disiarkan di Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Malaysia di sini.

Semua 16 rakyat Malaysia itu menaiki sembilan kapal, yang menjadi sebahagian daripada 15 yang dilaporkan dipintas dan diceroboh rejim Zionis.

Must Watch Video