MALAYSIA
GSF: Bapa Heliza, Hazwani sudah jangka anak ditahan Israel, harap kerajaan lebih agresif
Helmi Hasbi berkata sejak awal lagi beliau menyedari misi yang disertai dua anaknya itu penuh risiko, justeru, keluarganya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. - Foto Instagram/Heliza Helmi
KUALA LUMPUR: Bapa kepada adik-beradik penyanyi Heliza serta Hazwani Helmi, yang ditahan tentera Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza pagi tadi telah menjangkakan perkara itu akan berlaku sebaik kedua-dua anaknya mengambil keputusan menyertai misi berkenaan.
Helmi Hasbi berkata sejak awal lagi beliau menyedari misi yang disertai dua anaknya itu penuh risiko, justeru, keluarganya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Saya sudah jangka awal (anak-anak akan ditahan), (namun) harap tidak berlakulah, tapi, bagi saya, kalau tidak (berlaku seperti itu, pasti) Gaza sudah lama aman," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata kali terakhir mereka berhubung ialah malam tadi menerusi panggilan telefon di aplikasi WhatsApp dan Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza serta Hazwani (Nur Hazwani Afiqah) sempat memohon doa serta restu sebelum kapal mereka menghampiri zon berbahaya.
"Mereka memang sentiasa menghubungi kami, kemas kini apa yang berlaku kerana takut kami susah hati. Selepas melepasi zon kuning, mereka meminta kami untuk bersedia sebarang kemungkinan.
"Dia sempat pesan supaya kami mendoakan perjalanan mereka dipermudahkan, serta minta kami menghalalkan makan minum mereka. Semangat mereka memang kuat, kami sebagai ibu dan ayah hanya mampu tambahkan keyakinan mereka dengan doa dan motivasi," katanya.
Beliau menerima keadaan itu dengan hati terbuka kerana perjuangan kemanusiaan demi rakyat Gaza, memerlukan pengorbanan dan keberanian daripada sukarelawan.
"Kalau bukan anak-anak saya yang pergi, siapa lagi? Mereka (Heliza dan Hazwani) tidak sanggup melihat orang lain menderita. Lagipun mereka buat kerana Allah, biarlah mereka teruskan," katanya.
Pada masa sama, Helmi berkata isterinya Latifah Mohamad yang rapat dengan Heliza dan Hazwani, masih dibelenggu kesedihan mengenangkan nasib kedua-dua anaknya yang kini ditahan, namun tetap reda dan kuat selepas diberi semangat oleh keluarga.
Sementara itu, Helmi turut berharap agar kerajaan mengambil tindakan segera dan lebih agresif bagi memastikan keselamatan semua aktivis Malaysia yang ditahan.
"Sukarelawan yang pergi membawa semangat rakyat dan kerajaan untuk berjuang di sana. Kalau perkara ini dibuat segera, masyarakat dunia akan nampak usaha tersebut. Buat masa ini hanya Allah yang nampak, jadi kami sangat berharap kerajaan dapat membantu sebaik mungkin," katanya sebak.
Setakat petang ini, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan bahawa 15 rakyat Malaysia ditahan selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari pesisiran pantai Gaza, manakala lima lagi dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC.
-- BERNAMA