MALAYSIA
GSF: Jangan persoal niat peserta, mereka pertaruh nyawa demi Palestin - Afdlin Shauki

Afdlin (tengah) menyerahkan jambangan bunga kepada kakitangan di Pusat Bahasa dan Budaya, di bawah Kedutaan Turkiye di Malaysia sebagai tanda penghargaan dan simbol terima kasih atas bantuan dan keprihatinan Kerajaan Turkiye. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengasas Yayasan Afdlin Shauki, Datuk Afdlin Shauki menasihatkan orang ramai agar tidak mempersoalkan penyertaan para aktivis dalam misi kemanusiaan termasuk peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Ringkasan AI
- Afdlin Shauki gesa masyarakat hargai keberanian aktivis GSF, bukan mempersoalkan penyertaan mereka kerana misi ini bertujuan membela rakyat Palestin dan mencetuskan perhatian global terhadap kekejaman Israel.
- Beliau seru agar tidak menghukum artis atau pempengaruh yang tidak bersuara secara terbuka, kerana ramai membantu dalam diam, sambil menekankan pengorbanan besar sukarelawan seperti Zizi Kirana.
- Yayasan Afdlin Shauki terus bekerjasama dengan Turkiye dan NGO untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan, sambil mengingatkan cabaran naratif berat sebelah rejim Zionis sejak 1948.
"Hantar barang (bantuan) itu adalah rezeki, jika kita lepas hantar dan sampai ke Gaza. Sesiapa yang masuk flotila, (sedar kemungkinan mereka) akan ditangkap dan kita tak tahu apa yang Israel akan buat.
"Tetapi yang mereka sedar ialah, jika mereka ditangkap, satu dunia akan bangun. Itulah keberanian. Pada saya, siapa yang tidak menyertai misi tersebut, tak payah persoalkan tujuan mereka pergi.
"... yang harus kita ucapkan ialah terima kasih kerana sanggup meletakkan nyawa mereka di hadapan untuk rakyat Palestin. Pasal apa sebab mereka, Allah SWT telah gerakkan mereka pergi sana, dan mereka ditangkap, diculik dan sekarang satu dunia bangun demi mereka," katanya kepada media di hadapan bangunan Pusat Bahasa dan Budaya, di bawah Kedutaan Turkiye di Malaysia, di sini pada Ahad.
Beliau ditemui selepas menyerahkan jambangan bunga kepada kakitangan di Pusat Bahasa dan Budaya, sebagai tanda penghargaan dan simbol terima kasih rakyat Malaysia atas bantuan dan keprihatinan Kerajaan Turkiye dalam memudahkan kepulangan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF.
Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Setiawangsa menyifatkan penyertaan sukarelawan Malaysia dalam misi flotila sebagai satu pengorbanan besar, digerakkan oleh rasa tanggungjawab dan iltizam kemanusiaan yang tinggi.
Selain itu, Afdlin menyeru orang ramai agar tidak terlalu cepat menghukum golongan artis atau pempengaruh yang dilihat tidak menyuarakan sokongan secara terbuka terhadap isu Palestin, kerana menurutnya, ramai yang turut membantu dalam diam.
"Macam Zizi Kirana, dia dulu nyanyi lagu 'hip hop' tetapi kita tak sangka satu hari dia pergi (misi kemanusiaan ke Gaza), letak diri dia dan nyawa dalam bahaya untuk rakyat Palestin.
"Orang yang cakap, dan tak buat apa-apa, itu yang saya marah... dan dia tahu cakap sahaja. Kamu buat lah sesuatu... Ini nak boikot pun susah," ujarnya.
Berkongsi pengalaman menyertai misi ke Gaza pada 2012, Afdlin menyifatkan antara cabaran paling besar ketika ini adalah naratif berat sebelah yang disebarkan oleh rejim zionis.
Menurutnya, tragedi serangan 7 Oktober 2023 sering dijadikan titik mula untuk menggambarkan kekejaman seolah-olah hanya bermula daripada tindakan balas Hamas, tanpa melihat sejarah panjang penjajahan dan kekejaman Israel sejak 1948.
"Apa yang baru saya tengok tadi video Greta Thunberg diseksa... Dia seorang autistik, dan masih muda. Engkau (Israel) sanggup buat benda itu (penderaan) ke atasnya. Memang haiwan," tambahnya.
Sementara itu, Afdlin memberitahu Yayasan Afdlin Shauki sentiasa mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Turkiye termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana dalam menyalurkan bantuan dan menggerakkan misi kemanusiaan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami