MALAYSIA
GSF: Kejayaan bawa pulang 23 aktivis bukti diplomasi berprinsip Malaysia berhasil

Aktivis berkenaan ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal misi GSF dinaiki mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel. - Foto Facebook/Mohamad Hasan
KANGAR: Kejayaan membawa 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dan kini selamat tiba di Istanbul, Turkiye sebelum pulang ke tanah air dalam masa terdekat membuktikan pendekatan diplomasi tegas, berprinsip dan bijaksana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis Azzin Izzad Bahanudin berkata kejayaan itu sekali gus mengangkat martabat Malaysia di persada antarabangsa sebagai negara yang konsisten mempertahankan hak rakyat serta menegakkan prinsip kemanusiaan sejagat tanpa menggadaikan maruah dan prinsip negara.
"AMK Perlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Perdana Menteri atas kejayaan membawa pulang 23 rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis Israel.
"AMK Perlis akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri dalam usaha beliau memperjuangkan keadilan, keamanan dan kedaulatan rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Azzin Izzad berkata AMK Perlis percaya pencapaian diplomasi itu bukan sahaja memberikan kelegaan kepada keluarga mangsa, malah memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara yang berani dan berwibawa dalam menghadapi cabaran global.
Beliau berkata AMK Perlis mengecam keras tindakan rejim Zionis yang menahan rakyat Malaysia tanpa asas perundangan yang sah dan perbuatan itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Semua 23 aktivis rakyat Malaysia yang terlibat selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia setelah berlepas menaiki pesawat khas kerajaan Turkiye, TK6921 dari Lapangan Terbang Ramon, Israel.
Aktivis berkenaan ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal misi GSF dinaiki mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami