GST 0%: FOMCA gesa dakwa peniaga degil

Najib Aroff
Jun 5, 2018 05:35 MYT
Selvaraj menjawab pertanyaan pemberita sebaik menghadiri Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tun Daim Zainuddin di Menara Ilham hari ini. - BERNAMA
Kerajaan digesa ambil tindakan terhadap peniaga yang sengaja tidak mahu turunkan harga barang selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bertukar ke kadar sifar.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj, kementerian berwajib boleh mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.
"Harga sepatutnya turun, saya menyeru kementerian berwajib untuk dakwa peniaga yang sengaja tidak mahu turunkan harga.
"GST dikenakan pada setiap rantaian pengeluar manakala Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah sekali sahaja, jadi harga harus turun," katanya ketika ditemui di luar Menara Ilham Kuala Lumpur hari ini.

Dakwa peniaga yang sengaja tidak mahu turunkan harga barang selepas GST sifar. harga sepatutnya memang turun. - Datuk Paul Selvaraj, CEO FOMCA @501awani pic.twitter.com/tytXB68nIX

— Najib Aroff AWANI (@NajibAroffAWANI) June 5, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terdahulu beliau memberi taklimat berkaitan kepenggunaan kepada Majlis Penasihat Kerajaan.
Beliau pada masa sama berkata selagi rangka SST belum diumumkan, jumlah perbezaan harga sukar dibezakan buat masa ini.
"Ia bergantung kepada rangka SST, berapa jumlahnya. Namun secara perbandingan antara GST dan SST, harga sepatutnya turun," tegasnya.
BACA: "Peniaga patuh kalau SST rendah" - Ameer Ali Mydin
Beliau turut mengulas kesan pemberian subsidi minyak seperti dicadang kerajaan.
"Subsidi minyak ini akan banyak membantu pelbagai sektor seperti sektor makanan. Ini akhirnya akan memberikan kesan penurunan kos kepada pengguna," katanya sambil menambah, selagi ia memberi kesan baik kepada pengguna, FOMCA akan menyokong.

Subsidi bahan bakar beri kesan positif kepada banyak sektor dan ia pada akhirnya mengurangkan kos sara hidup - Datuk Paul Selvaraj, CEO FOMCA @501awani pic.twitter.com/R0dcbZzrjy

— Najib Aroff AWANI (@NajibAroffAWANI) June 5, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ditanya apakah cadangan beliau terhadap Majlis Penasihat Kerajaan, Selvaraj berkata antaranya pemantauan terhadap kos penjagaan kesihatan swasta yang terlampau tinggi.
"Harga khidmat penjagaan kesihatan swasta perlu dikawal selia. Ia tidak boleh dibiarkan mengikut harga pasaran.
"Kerajaan perlu mencari jalan kerjasama dengan pihak swasta untuk mengawal kenaikan mendadak kos penjagaan kesihatan Swasta," katanya.
#cukai #Fomca #GST #Ilham Tower #kerajaan #kesihatan #Majlis Penasihat Kerajaan #minyak #Paul Selvaraj #peniaga #subsidi