Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) boleh ditangguhkan jika keadaan tidak kondusif, kata Pengerusi Biro Pengajian Tinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim.

Razali berkata biarpun tarikh pelaksanaan GST telah dijadualkan pada April 2015, namun kerajaan masih akan melihat sama ada sesuai atau tidak untuk untuk ia diperkenalkan.

Katanya, jika pada waktu GST hendak dilaksanakan keadaannya tidak kondusif, rakyat akan memberi pandangan dan kerajaan tentu akan menangguhkan pelaksanaan cukai tersebut.

"Persoalan mengenai GST ini ialah sama ada mahu melaksanakannya atau tidak, kerajaan tetapkan tarikh pada 1 April 2015, tetapi sebelum sampai tarikh tersebut macam-macam boleh berlaku.

"Kalau sekiranya keadaan pada waktu GST ini hendak dilaksanakan tidak kondusif, saya percaya rakyat akan beri pandangan, malah saya sendiri sebagai pengguna akan beri pandangan bahawa ia belum sesuai dilaksanakan, maka saya percaya kerajaan akan menangguhkannya," katanya kepada wartawan selepas merasmikan program Sembang Santai Anak Muda mengenai GST dan TPPA, di sini, hari ini.

Razali berkata, kadar enam peratus yang ditetapkan oleh kerajaan juga boleh dikurangkan jika keadaan ekonomi pada waktu GST hendak dilaksanakan sangat memberangsangkan.

Beliau memberitahu, kadar yang ditetapkan oleh kerajaan sekarang mengambil kira keadaan ekonomi global yang agak lembap.

"Ada yang tanya, kenapa tak letak pada kadar tiga peratus macam Singapura mula dulu...itu tahun 90an...masa tu keadaan ekonomi di rantau ini amat baik.

"Tetapi sekarang keadaan ekonomi global lembap..bukan di negara kita saja...jadi kerajaan letak enam peratus, kalau tiba masa nak laksana nanti ekonomi negara jadi baik...kadar itu boleh dikurangkan," katanya.

Program Sembang Santai Anak Muda mengenai GST dan TPPA dianjurkan oleh Biro IPT UMNO dan diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa tempatan.

Mengulas mengenai program tersebut, Razali berkata pihaknya amat menggalakkan perbincangan ilmiah dikalangan masyarakat berbanding mengajak berdemonstrasi di jalan raya.

Menerusi program satu hari itu, mahasiswa berpeluang bertanya apa sahaja soalan berkaitan GST dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.