Kerajaan boleh mengurangkan pergantungan kepada cukai langsung dan memudahkan sistem cukai dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

GST akan mula dilaksanakan berkuat kuasa 1 April, 2015.

Beliau berkata hasil daripada GST, yang akan meningkatkan secara berterusan dalam beberapa tahun seterusnya, membawa pendapatan tambahan kepada kerajaan setelah ekonomi berkembang ke arah tahun 2020 apabila negara mencapai wawasannya untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

"Sebab utama mengapa kita memerlukan pendapatan ini ialah kita mahu mengurangkan pergantungan Perbendaharaan terhadap cukai langsung, dan yang termasuk cukai pendapatan individu dan korporat.

"Kita telah memulakan proses, di mana cukai pendapatan individu dan korporat diturunkan secara beransur-ansur sejak beberapa tahun ini, masing-masing daripada 30 peratus dan 40 peratus kepada 26 peratus dan 25 peratus. Manakala bagi PKS, diturunkan kepada 20 peratus," kata menteri itu.

Semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan GST Kebangsaan 2014, di sini hari ini, Ahmad Husni berkata langkah itu akan meningkatkan pelaburan di seluruh negara serta penggunaan domestik dalam ekonomi berikutan kurang beban cukai langsung.

Beliau berkata kesan strategik adalah bagi Malaysia, dari segi peratusan, akan kurang bergantung kepada sektor luar, iaitu eksport.

"GST, dengan kadar enam peratus, memberi kerajaan peluang untuk memudahkan sistem cukai kepada hanya satu daripada dua kadar cukai dan yang berbeza, di samping menggalakkan pematuhan dan mengurangkan kos pentadbiran dan perniagaan, kata beliau.

"Sektor swasta merupakan penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi kita. Satu regim cukai yang cekap perlu disediakan untuk mereka. Rejim cukai yang sukar dikawal mahal untuk diurus dan ditadbir," katanya.

Ahmad Husni turut menyatakan kebimbangan bahawa tanpa pendapatan tambahan kerajaan tidak akan mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk mendidik komuniti perniagaan dalam semua sektor ekonomi untuk meningkat melalui rantaian nilai.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan sedang meningkatkan usaha untuk menggalakkan penggabungan nilai yang lebih tinggi kepada sektor berasaskan eksport terutamanya pembuatan, untuk mendapatkan harga jualan yang lebih tinggi dengan menggabungkan nilai yang lebih kepada barangan pembuatan, katanya.

"Kerajaan bagaimanapun, memerlukan wang untuk membangunkan dan menggalakkan penggunaan reka bentuk perindustrian, bukan sahaja di institusi pengajian tinggi tetapi juga di peringkat industri.

"Bagi menggalakkan pembangunan apa sahaja, Perbendaharaan akan sentiasa memperkenalkan insentif cukai, biasanya dalam bentuk pengecualian cukai, pelepasan cukai atau malah geran langsung. Setiap insentif ini melibatkan kos.

"Bagi setiap ringgit yang Perbendaharaan kecualikan, ia merupakan wang yang dibelanjakan. Insentif cukai tidak menghasilkan aliran tunai segera tetapi pada akhirnya, ditanggung Perbendaharaan," kata Ahmad Husni.

Persidangan GST Kebangsaan 2014 dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Tax Advisory and Management Services Sdn Bhd (TAMS).