Orang ramai di negeri ini dinasihatkan terus berhemah dalam menggunakan air bagi memastikan bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan tanpa gangguan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata hal ini berikutan musim kemarau yang dijangka berlanjutan sehingga April berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Walaupun bekalan sumber air mentah yang diterima dari 44 loji rawatan adalah pada paras normal dan masih beroperasi seperti biasa, namun ada beberapa muka sauk yang mengalami simptom penyusutan akibat cuaca kering sejak dua minggu lalu.

"Tetapi kita sentiasa melakukan pemantauan di semua muka sauk bagi memastikan air berada pada paras yang mencukupi," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna agar sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap sistem paip dalaman rumah bagi mengelakkan sebarang kebocoran sebagai langkah penjimatan air.

Ahmad Faizal berkata pengguna juga perlu mengelakkan aktiviti-aktiviti seperti membasuh kereta pada waktu siang kerana penyejatan lebih cepat berlaku pada waktu panas.

"Selain itu, elakkan penyiraman pokok bunga berlebihan dan menggunakan penyapu untuk pembersihan halaman rumah berbanding menggunakan air.

"Penjimatan air juga boleh dilakukan bagi kerja-kerja domestik seperti mencuci pakaian menggunakan mesin basuh hanya apabila muatan penuh dan penggunaan pancuran air berbanding tab ketika mandi," katanya.

Tambahnya, sebarang maklumat lanjut berkaitan bekalan air setempat, pengguna boleh terus menghubungi SAJ Info Center menerusi talian 1 800 88 7474 atau menerusi sistem pesanan ringkas di 019 772 7474 dan menerusi e-mel [email protected] yang beroperasi 24 jam serta di laman sosial Facebook 'Setitis YANG Bermakna'.

-- BERNAMA