Guna cap jari si mati, wanita dipenjara

Selain itu, Li turut diarahkan membayar denda sebanyak AS$1,600 (RM7,560) dan menjalani 90 jam kerja khidmat masyarakat di jabatan kerajaan tempatan sebagai sebahagian daripada hukuman gantian. - Gambar hiasan
TAIWAN: Seorang wanita berusia 59 tahun telah dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas didapati bersalah menggunakan cap jari seorang lelaki yang telah meninggal dunia dalam cubaan memalsukan dokumen pinjaman bernilai jutaan dolar Taiwan.
Tertuduh, yang hanya dikenali sebagai Li, dilaporkan memanjat van jenazah di sebuah pusat pengebumian di Hsinchu untuk mencapai mayat seorang lelaki bernama Peng, dipercayai individu yang terlibat dalam konflik kewangan dengannya.
Menurut laporan daripada saluran berita tempatan SETN, keluarga si mati mula curiga apabila melihat gelagat wanita tersebut semasa majlis penghormatan terakhir dijalankan, lalu segera memanggil pihak polis.
Siasatan kemudian mengesahkan bahawa Li dan Peng mempunyai sejarah perselisihan berkaitan hutang. Sebaik sahaja mendapat berita kematian Peng pada 21 Februari, Li segera ke rumah mayat sambil membawa beberapa dokumen yang dipercayai palsu.Dengan berpura-pura sebagai kenalan rapat mendiang, Li mendekati tubuh si mati dan secara senyap meletakkan dakwat pada jarinya sebelum menekankan jari tersebut ke atas kertas yang dikatakan sebagai dokumen gadai janji serta nota hutang berjumlah AS$280,000 (RM1.32 juta).
Perbuatan itu tidak terlepas daripada perhatian kakitangan rumah mayat, yang segera memaklumkan kepada ahli keluarga Peng.
Polis kemudiannya tiba di lokasi dan menangkap Li di tempat kejadian.
Dalam operasi siasatan lanjut, pihak berkuasa turut menemui beberapa bukti penting termasuk dokumen pinjaman yang telah dipalsukan, sekeping cek bank, dan pad dakwat yang digunakan dalam perbuatan tersebut.
Li mengakui bahawa dia cuba mendapatkan kembali wang yang pernah dipinjamkan kepada Peng dan bertindak sedemikian kerana bimbang akan kehilangan jumlah tersebut selepas kematian Peng.
Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun ke atas Li atas kesalahan memalsukan dokumen sekuriti.
Bagaimanapun, hukuman tersebut ditangguhkan selama lima tahun kerana dia mengaku salah dan belum sempat menggunakan dokumen palsu itu untuk sebarang transaksi.
Selain itu, Li turut diarahkan membayar denda sebanyak AS$1,600 (RM7,560) dan menjalani 90 jam kerja khidmat masyarakat di jabatan kerajaan tempatan sebagai sebahagian daripada hukuman gantian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami