KUALA TERENGGANU: Bekas eksekutif pentadbiran dan sumber manusia di sebuah syarikat didenda RM5,000 kerana menggunakan dokumen palsu berkaitan invois syarikat, tiga tahun lepas.
Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Maslidah Mohamad, 45, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.
Advertisement
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Maslidah didapati menggunakan sebagai tulen suatu dokumen iaitu invois tuntutan sebuah syarikat berjumlah RM2,520 yang diketahuinya adalah dokumen palsu ketika diserahkan kepada Bahagian Kewangan di Pejabat Permint Plywood Sdn Bhd.
Dia melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Permint Plywood Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian AMBS, Bandar Al-Muktafi Billah Shah di Dungun pada Januari 2023 mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali.
Terdahulu, Maslidah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minima kerana dia kini dalam proses rawatan penyakit strok dan kanser.
“Saya juga sedang menjaga seorang ayah yang uzur dan anak sulung saya merupakan seorang anak autisme yang memerlukan penjagaan rapi,” katanya.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Raihan Mohd Yusof memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam berbanding kepentingan tertuduh, namun mengakui pengakuan bersalah Maslidah telah menjimatkan masa mahkamah dan pihak berkaitan.
-- BERNAMA