MALAYSIA
Guna kenderaan mikromobiliti di jalan raya awam, JPJ tidak teragak-agak ambil tindakan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu menggunakan kenderaan mikromobiliti di jalan raya awam. - Foto hiasan/BERNAMA
MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu menggunakan kenderaan mikromobiliti di jalan raya awam.
Timbalan Pengarahnya Khairul Aswad Abdul Halim berkata pihaknya telah mengambil maklum berkaitan satu video tular berdurasi 18 saat memaparkan tiga individu dipercayai menaiki kenderaan terbabit.
"JPJ ingin menegaskan bahawa perbuatan berkenaan melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada individu terlibat, tetapi juga pengguna jalan raya lain.
"Menurut peruntukan di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], mana-mana individu yang menggunakan kenderaan tidak dibenarkan di atas jalan awam boleh disabitkan kesalahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.Beliau berkata jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.
Beliau berkata penggunaan kenderaan mikromobiliti di jalan raya adalah dilarang termasuk e-skuter, hoverboard, monowheel, segway, basikal elektrik tanpa kelulusan jenis berdasarkan Perintah Larangan Kenderaan (Penggunaan Jalan) (Pindaan) 2021 yang telah diwartakan dan berkuat kuasa pada 17 Dis 2021.
"Kenderaan mikromobiliti hanya dibenarkan digunakan di kawasan yang dikhaskan seperti taman rekreasi, laluan khas atau kawasan persendirian dan bukan di atas jalan awam.
"JPJ memandang serius kesalahan ini dan orang awam disarankan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan tidak menggunakan kenderaan yang dilarang bagi menjamin keselamatan diri dan orang lain," katanya.
Beliau menyeru ibu bapa memainkan peranan memantau pergerakan anak-anak, khususnya berkaitan penggunaan kenderaan mikromobiliti.
Terdahulu tular video menerusi laman TikTok memaparkan tiga individu menaiki skuter elektrik dipercayai di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Bachang di sini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami