UMNO kini berada dalam 'mood' persediaan menyerang di semua peringkat, bahagian dan medium termasuk media siber.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, serangan akan dibuat kepada 'musuh-musuh' parti namun bukan digunakan untuk 'membunuh' sesama ahli.
"Kita kena siap siaga, minda perang semua peringkat, pukul gendang perang, ada minda perang, perang siber, psikologi, saraf, taktik pertahanan terbaik adalah menyerang!
"Jangan 'attack' sesama sendiri, jangan bunuh sesama sendiri, jangan sorong belakang sama sendiri. Gunakan kekuatan siber untuk kuatkan UMNO bukan jatuhkan kawan-kawan.
"Untuk roh itu, kita sediakan Keris 2314 sebagai program pertarbiyahan dan pengkaderan. Ini akan mewujudkan jil UMNO yang akan terlahir UMNO yang dapat meremajakan parti kita," katanya semasa ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Jelasnya, Keris 2314 merupakan kombinasi frasa Karisma, Ehsan, Rasional, Iltizam dan Setia.
"Angka 2314 pula - 23 ertinya, kalau kerja keras, kita akan mendapat 2/3 majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, 14 pula maksudnya - PRU ke-14.
"Kita akan wajibkan bukan sahaja perwakilan, malah semua ahli majlis tertinggi, semua, tidak seorang pun terlepas. Semua wajib sertai program Keris 2314. Siapa yang ponteng, Presiden jangan beri pertimbangan langsung untuk jadi calon," jelasnya.
Dalam pada itu, Zahid memberi jaminan akan mengambil tindakan kepada pesalah yang melanggar Akta Hasutan apabila ia diperkasakan kelak.