ALOR SETAR:Keputusan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk bertanding menggunakan logo Parti Warisan Sabah (Warisan) atau Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 mungkin merupakan pelan terakhir yang akan dibuat sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) masih menolak pendaftaran parti berkenaan.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menyatakan pihaknya ketika ini difahamkan parti yang dipimpin bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu akan melakukan rayuan terhadap permohonan berkenaan.

Tambahnya, Pejuang juga boleh menggunakan alternatif lain seperti mengambil alih parti politik sedia ada yang tidak aktif sekiranya usaha yang dilakukan mereka gagal.

Mahfuz bagaimanapun tidak menolak untuk mengadakan perbincangan sekiranya Pejuang bersedia membentuk satu kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dalam mendepani PRU15 termasuk menggunakan logo gabungan berkenaan.

"Saya difahamkan sehingga kini mereka masih membuat rayuan. Saya juga difahamkan kalau rayuan ini ditolak, mereka masih ada 'plan B' dan 'plan C'.. saya anggap menggunakan lambang ataupun atas nama Amanah ataupun Warisan ataupun mana-mana parti adalah 'plan' yang terakhir yang akan diputus oleh parti pihak Dato Mukhriz,

"(Ini) kerana mereka masih mempunyai pilihan untuk mengambil alih parti parti politik yang tidak lagi aktif tetapi sudah pun berdaftar dengan RoS, jadi kami sedia untuk berbincang apa bila tiba waktu itu," ujar Mahfuz.

Beliau berkata demikian ketika sidang media secara atas talian mengenai pelaksanaan beberapa projek kerajaan secara rundingan terus pada Selasa.

Pada 9 Januari lalu, Mukhriz menjelaskan bahawa calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan bertanding sebagai calon Bebas sekiranya parti itu tidak didaftarkan secara sah menjelang PRU15.

Menurutnya, parti itu tidak menolak kemungkinan akan bertanding di bawah logo Parti Warisan Sabah (Warisan) dan beberapa parti lain.

Bagaimanapun, menurutnya, penggunaan lambang atau logo parti lain bukanlah pilihan pertama dan merupakan salah satu dari alternatif sekiranya pendaftaran Pejuang tidak dapat dibuat.