GEORGE TOWN: Tindakan tiga buah syarikat menggunakan perisian komputer dipercayai  cetak rompak membawa padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Timur Laut  baru-baru ini.

Serbuan dilakukan selama tiga hari bermula 15 Februari lalu selepas KPDNHEP menerima aduan daripada pengadu iaitu Business Software Alliance berhubung penggunaan perisian komputer yang dipercayai salinan langgaran iaitu cetak rompak.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, dalam serbuan berasingan bersama pihak pengadu mendapati semua salinan langgaran yang digunakan oleh syarikat terbabit mempunyai hak cipta.

Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah syarikat kejuruteraan di George Town mendapati tiga buah komputer meja yang digunakan syarikat tersebut mengandungi salinan langgaran.

“Salinan langgaran yang digunakan ialah Windows 10 Pro, Office Home and Business 2016, Solidware Premium 2020, Illustrator 2019 dan AutoCAD 2019,” kata Ahmad Ahrazzudin dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, serbuan kedua dijalankan di sebuah syarikat perhiasan dalaman di kawasan Bayan Lepas dan menemui dua buah komputer meja dan sebuah komputer riba mengandungi perisian Windows 7 Profesional, AutoCAD 2017, 3ds Max Design 2015, Recap 360 Pro, Photoshop CC, Illustrator CS6 dan Sketchup Pro 2016 yang dipercayai salinan langgaran.

Manakala serbuan ketiga di sebuah syarikat yang membuat komponen elektronik  telah menemui dua  komputer riba yang mengandungi salinan langgaran iaitu Windows 10 Home, Office Standard 2016, AutoCAD 2017, SolidWorks Premium 2017, AutoCAD 2011 for Mac, Excel for Mac, Word for Mac dan Powerpoint for Mac.

“Tindakan diambil dengan membuat sitaan terhadap 5 komputer meja dan 2 komputer riba yang ditemui ketika serbuan bagi tujuan siasatan” katanya

“ Anggaran nilai rampasan bagi ketiga-tiga serbuan dibuat adalah RM26,000. Semua salinan langgaran yang digunakan tidak mendapat kebenaran pemilik hak cipta yang sebenar” ujarnya.

Kes ini disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987, dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.