KUCHING:Setiap pejabat daerah berperanan mengedarkan risalah kepentingan pengambilan vaksin COVID-19 terutamanya di kawasan pedalaman Sarawak.

Jelas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing, beliau sudah berbincang dengan pejabat daerah serta ketua masyarat di pedalaman bagi memulakan penggunaan mekanisma berkenaan dalam waktu terdekat.

“Apabila maklumat sudah sampai ke pejabat daerah, mereka akan membantu untuk meyakinkan ketua masyarakat dan juga ketua kaum terlebih dahulu tentang vaksin COVID-19 ini.

“Kemudian mereka (ketua masyarakat dan ketua kaum) akan diterangkan secara lebih terperinci sebelum menghebahkan kepada penduduk di rumah panjang.

“Itu adalah mekanisme yang paling selamat.

"Saya juga telah mengadakan perbincangan bersama Pejabat Daerah Bahagian Kapit tentang cara terbaik untuk meyakinkan penduduk di sana mengenai vaksinasi ini dan rata-rata penduduk di Kapit bersetuju untuk menerima vaksin tersebut,” katanya.

Selain itu, Masing juga berharap agar ketua masyarakat di rumah panjang untuk terus mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ini termasuk tidak membenarkan orang luar untuk memasuki kawasan rumah panjang kerana dikhuatiri mempunyai risiko jangkitan dan penyebaran yang meluas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya pada Khamis.

Sarawak akan memulakan fasa pertama program vaksin COVID-19 pada 27 Februari ini melibatkan lebih 40,000 petugas barisan hadapan.

Manakala fasa kedua pula dijangka bermula pada penghujung April ini.