PASIR MAS: Seorang guru agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki dan menghasilkan gambar lucah.
Muhammad Faiz Muhamad Ramly, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di sebuah madrasah di Jeli antara 1.10 tengah hari dan 5 petang pada 9 Mei 2026.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan menghasilkan gambar pornografi kanak-kanak tersebut di sebuah rumah di Jeli pada Mei 2025.
Pertuduhan pertama, kedua dan ketiga dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Pertuduhan keempat pula di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan minimum enam sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Nai'lah Harizan, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Zaem Ab Aziz.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA