NILAI: Seorang guru al-Quran maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat kemalangan dengan lori tangki di Jalan Batang Benar di sini pada Khamis.

Mangsa yang merupakan graduan Diploma Pengajian Islam Kolej Uniti Port Dickson sepatutnya menghadiri istiadat konvokesyen minggu depan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab. Rahman berkata, kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu melibatkan sebuah lori tangki jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun dari Kajang menghala ke Nilai.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa memotong sebelah kanan lori, bergesel dan hilang kawalan.

"Penunggang motosikal berkenaan tercampak ke bawah lori sebelum digilis kenderaan berat terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, akibat kemalangan, penunggang motosikal berusia 22 tahun tersebut mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya memandu dalam keadaan yang selamat dan patuh dengan kelajuan ditetapkan.

Sementara itu, Kolej Uniti Port Dickson dalam satu kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan mangsa antara graduan Diploma Pengajian Islam yang akan berkonvo pada minggu hadapan.


* Artikel asal di Sinar Harian