KUCHING: Usaha mengesan seorang guru berusia 33 tahun masih giat dijalankan bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dua pelajar sekolah menengah Sebauh, Tatau di Bintulu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata setakat ini laporan polis telah dibuat oleh keluarga pelajar berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku pada 26 Julai dan 29 Julai melibatkan dua orang pelajar berusia 14 tahun.

“Susulan laporan itu, kes berkenaan dirujuk ke Lembaga Tatatertib Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

“Antara tindakan lain yang telah diambil termasuk membekukan gaji guru berkenaan kerana tidak hadir bertugas,” katanya pada Rabu.

Beliau turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa apabila berlaku kes sedemikian terhadap gadis bawah umur.

“Kami akan pastikan anda tidak bersendirian, kita akan berusaha mendapatkan keadilan daripada apa yang berlaku, dia (suspek) mungkin boleh lari, bersembunyi, tetapi cepat atau lambat anda akan ditangkap.

“Kepada mangsa-mangsa yang telah dikenal pasti, saya akan menggerakkan jabatan di bawah tanggungjawab saya dan pihak-pihak lain yang berkaitan sekiranya perlu untuk memberi bantuan dari segi kaunseling dan kesihatan mental bagi meringankan kesan trauma yang dialami oleh pelajar berkenaan,” katanya.

Fatimah turut menggesa agar polis Sarawak dan Semenanjung bekerjasama dengan Jabatan Imigresen serta Jabatan Pendidikan untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.

“Suspek harus disiasat dan didakwa bukan sahaja mengikut Sekyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, tetapi Sekyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Dalam masa sama Fatimah turut meminta sesiapa yang pernah menjadi mangsa untuk tampil memberi keterangan.

Selain itu, pihak Kerajaan Persekutuan juga boleh membuat satu polisi bagi mewajibkan saringan terperinci ke atas bakal guru bagi memastikan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau terutama sekali pemangsa seksual.

Sementara itu pada 10 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Bartholomew Umpit dalam kenyataan berkata pihaknya mengesan seorang guru dari Tumpat, Kelantan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Suspek dikenal pasti sebagai Tengku Nasrul Haizal Mohd Nasir diletakkan dalam senarai Orang Yang Dikehendaki (OYD) polis, dilaporkan menghilang diri sejak bulan lalu selepas perbuatannya terbongkar.