Seorang lagi mangsa skim cepat kaya yang ditawarkan oleh sebuah syarikat menjual kopi tampil membuat laporan polis melibatkan kerugian berjumlah RM 152,050.

Mangsa, seorang guru wanita berusia 48 tahun, tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, pada Sabtu selepas gagal mendapatkan pulangan pelaburan oleh syarikat yang diterajui oleh seorang berpangkat 'Datuk Seri' itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mula diperkenalkan oleh rakannya tentang pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan April 2015, yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan untuk setiap pelaburan yang dilakukan.

"Sebanyak empat pakej ditawarkan iaitu berjumlah RM1,000, RM3000, RM5000 dan RM10,000, di mana ahli yang melabur akan menerima pulangan dalam bentuk produk dan wang tunai.

"Pengadu secara keseluruhan telah melabur sebanyak RM190,000.00 dan telah menerima pulangan dalam lebih kurang RM37,950.00," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Bagaimanapun, katanya bermula Nov 2016 mangsa dan ahli lain tidak menerima sebarang pulangan.Katanya, pihak syarikat telah memberikan alasan bahawa program dan pakej sedang dinaik taraf bagi keuntungan yang lebih tinggi untuk semua ahli.

Sehingga kini, katanya mangsa tidak mendapat sebarang maklum balas yang positif daripada pihak syarikat.

Mangsa yang berasa tidak berpuas hati telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Semalam, seramai 19 individu membuat laporan polis di IPD Kuantan kerana mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang ditawarkan oleh sebuah sebuah syarikat menjual kopi terkenal sehingga mangsa mengalami kerugian berjumlah RM735,000.

-- BERNAMA