Persiapan terakhir seorang guru lelaki sebelum sekolah dibuka esok bertukar tragedi apabila maut selepas terjatuh dari belebas tingkat satu di bangunan sekolahnya.

Kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari Selasa, di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah, di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf, mangsa yang berusia 54 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Katanya, mangsa sedang ketika itu sedang memeriksa air bagi setiap sinki yang terdapat dalam kelas berfungsi.

"Namun, selepas mangsa dikatakan keluar dari kelas dan ke balkoni belakang sebelum memijak kerusi plastik dan tergelincir pada ketinggian tiga meter.

"Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk tindakan lanjut," katanya.

Mangsa merupakan bapa kepada lima orang anak, dan difahamkan mengajar mata pelajaran Matematik di sekolah berkenaan.