Skip to main content

Malaysia

Guru mengaku tidak bersalah cabul penumpang e-panggilan warga asing

Foto: BERNAMA
Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita warga asing, awal bulan ini.

Alvin Choo Chee Hong, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.

Advertisement

Mengikut pertuduhan, Choo didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada 1 Feb lalu antara 5.30 petang hingga 6 petang di dalam sebuah kereta Perodua Bezza bernombor pendaftaran QS8511T.

Kesalahan itu berlaku antara Kedai Emas Ros Merah, Taman Abad, Jalan Harimau Tarum, Taman Century dan R&F Princess Cove, Jalan Tanjung Puteri 1, Tanjung Puteri, dalam daerah Johor Bahru.

Choo didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syafiqah Sha’ari manakala tertuduh diwakili peguam Mark Jeyakumar.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh merupakan anak sulung daripada tiga beradik dengan dua adiknya masih menuntut di institusi pengajian tinggi manakala ibunya seorang suri rumah dan bapanya bekerja sebagai pembantu jurutera dengan pendapatan sekitar RM4,000 sebulan.

Mahkamah menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin warganegara. Choo membayar jaminan berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pemandu e-panggilan ditahan pada 4 Feb lalu bagi membantu siasatan susulan laporan polis dibuat oleh wanita warga Vietnam berhubung kejadian berkenaan.

Pada 3 Feb, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan membatalkan serta-merta Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu terbabit dan beliau tidak lagi dibenarkan berkhidmat di mana-mana platform e-panggilan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video