MALAYSIA
Guru wanita maut ditikam anak: ‘Mangsa, anak kerap bertengkar’ - Jiran

Polis mendapati tindakan suspek adalah akibat tekanan perasaan dan dendam kerana sering dipaksa belajar untuk mencapai keputusan cemerlang menjelang peperiksaan SPM. -Gambar fail/Astro AWANI
AYER KEROH: Guru wanita yang maut selepas dipercayai dibunuh anak kandungnya yang berusia 17 tahun dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, di sini, awal pagi tadi kerap bergaduh dengan remaja itu sejak kematian suami Januari lalu.
Ringkasan AI
- Seorang guru wanita dan anak sulungnya maut dipercayai ditikam oleh anak kedua berusia 17 tahun dalam kejadian awal pagi di Bukit Rambai, Melaka, yang turut menyebabkan anak bongsu cedera parah ketika cuba menyelamatkan mangsa.
- Menurut jiran, pergaduhan antara ibu dan anak sering berlaku sejak kematian suami mangsa pada Januari lalu, dengan tekanan terhadap pelajaran dipercayai menjadi punca utama konflik.
- Polis mendapati suspek bertindak atas tekanan perasaan dan dendam kerana sering dipaksa belajar untuk mencapai keputusan cemerlang menjelang peperiksaan SPM, dan menggunakan pisau lipat untuk menyerang ahli keluarganya.
“Saya tahu mangsa ini memang amat pentingkan pelajaran pada anak-anaknya, tetapi saya tidak sangka perkara itu berakhir dengan tragedi pilu macam ini,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, guru wanita berusia 51 tahun bersama anak lelaki sulungnya iaitu pelajar kolej berusia 21 tahun maut selepas disyaki ditikam anak keduanya yang berusia 17 tahun.
Kejadian turut menyebabkan anak bongsu lelaki berusia 13 tahun cedera parah akibat ditikam ketika cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, suspek dipercayai menikam ibunya beberapa kali di leher, pinggang dan belakang badan menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter.
Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat tekanan perasaan dan dendam dialami suspek kerana sering kali dipaksa belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.
“Mungkin ibunya seorang guru dan dia nak anaknya dapat keputusan yang terbaik kerana suspek ini akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
“Jadi dia mungkin selalu dimarahi supaya untuk belajar lebih tekun lagi dan jiran-jiran juga maklumkan sering dengar pergaduhan di rumah itu,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami